Jangan biarkan penyelidikan sastera terpinggir  

Posted by minz_tondekan in

PEMBICARAAN tentang sastera tidak pernah ada noktahnya di kalangan para pengkaji, sejajar dengan usaha untuk meningkatkan wawasan masyarakat ketika Malaysia dan dunia sedang berhadapan dengan globalisasi.

Kesemua pembicaraan itu terwujud dalam pelbagai karya tulisan dan wacana tentang karya-karya serta kepengarangan, sama ada sastera klasik mahupun kotemporari.

Matlamat utama program-program penyelidikan sastera tersebut ialah menyebarluaskan dapatan-dapatan kajian untuk pembangunan bidang kesusasteraan tanah air.

Namun, adakah bidang penelitian sastera di negara ini benar-benar mantap dan mampu melahirkan dapatan-dapatan yang berkesan untuk pembangunan bidang tersebut? Dan, adakah penyelidikan-penyelidikan yang dilaksanakan hari ini sudah memadai?

Menurut Sasterawan Negara Prof. Muhammad Salleh, penyelidikan sastera Melayu sama ada klasik mahupun kotemporari hari ini masih jauh dari pencukupi kerana beberapa aspek dasar dan penting belum dijalankan.

Ketiadaan penyelidikan dan usaha untuk memperluaskan korpus kesusasteraan Melayu tersebut menyebabkan maklumat-maklumat lengkap tentangnya tidak sebanyak sastera asing.

Katanya, sastera Melayu terutama genre klasik mempunyai estetika dan kekuatannya tersendiri. Malah, ia lebih kaya dengan kelainan dan bakat para penciptanya.

“Cuma cara mendekatinya perlu diaturkan kembali. Kita harus melihat filologi baru yang dinamik dan membuka dunianya kepada berbagai-bagai persoalan sastera dan tidak saja pada ejaan atau ketepatan transkripsi.

“Kajian karya sastera sebagai hasil karya juga kurang dititikberatkan. Biasanya sesebuah karya itu dikaji latar belakangnya, kaitan sejarahnya ataupun bahasanya. Dinamika sasteranya, kerapian tekniknya dan dasar pemikiran yang sering diabaikan,” kata beliau di Wacana Intelektual di Sanggar Za’ba, Dewan bahasa dan Pustaka (DBP), baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, penyelidik-penyelidik banyak mengikut model Barat atau dari Malaysia yang melihat bahawa kebudayaan Melayu lebih merupakan pengaruh peradaban Hindu, Arab-Parsi dan barat sendiri.

Disebabkan pemahaman seperti itu, beliau berkata, jarang sekali para penyelidik yang menghargai genius pengarang Melayu tradisional walaupun karya-karya yang dihasilkan merupakan buah intelektual sastera Melayu.

Sesungguhnya bidang kajian tentang sastera lisan Melayu misalnya mempunyai cakupan yang sangat luas. Ia perlu dilaksanakan oleh para penyelidik tempatan semaksimum mungkin.

Dr. Muhammad berkata, antaranya kajian tentang bentuk, metafora, bahasa, irama, muzik dan aturan-aturan penciptaan dalam pelbagai genre penciptaan sastera Melayu klasik seperti jampi serapah, pantun, seloka, gurindam, syair dan sebagainya.

“Selain itu, kajian juga boleh dibuat untuk memahami pemikiran dasar tentang masyarakat dan pandangan hidup yang diterjemahkan menerusi genre-genre sastera klasik tersebut, selain aspek estetika dan sebagainya.

“Dalam bidang drama tradisional seperti wayang kulit dan mek mulung pula aspek perdalangan, ukiran, patung, koreografi dan lain-lain,” tambah beliau.

Menurut beliau, antara aspek lain yang boleh diberi perhatian ialah pengumpulan cerita, puisi, drama dan tulisan-tulisan tentang sastera Melayu lama dan baru, selain kajian tentang khalayak kedua-dua genre tersebut.

“Sebenarnya ada banyak aspek lain yang boleh dikaji dan diteliti seperti minat sastera, daya beli dan penyebaran karya-karya sastera serta penulisan bibliografi lengkap sastera Melayu (tradisional dan moden).

Lenyap

“Para pengkaji juga boleh mengkaji dan mengumpul sastera semua suku kaum bumiputera termasuk Iban, Kadazan, Murut, Semang dan lain-lain serta mengaturnya untuk pembelajaran di sekolah,” ujar beliau.

Aspek lain yang dicadangkan oleh beliau bidang terjemahan karya-karya sastera Melayu serta pengumpulan cerita-cerita rakyat di seluruh pelosok tanah air untuk dibukukan.

Persoalan kurangnya biografi, autobiografi dan memoir pengarang-pengarang Melayu turut diakui oleh Dekan Fakulti Penulisan, Akademi Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Datuk Dr. Anwar Ridhwan.

Beliau melihat, ketiga-tiga penulisan tersebut masih amat langka dalam sejarah penerbitan di Malaysia termasuk sumbangan daripada pengarang-pengarang mapan.

Kelangkaan tersebut menyebabkan beberapa maklumat penting tentang kesusasteraan moden dan aspek bukan narati tentang pengarang tempatan tidak dapat diketemukan atau lenyap bila mereka meninggal dunia.

Sesungguhnya, penghormatan dan pengiktirafan terhadap sastera dan bidang penulisan tidak hanya tertakluk pada penerbitan karya-karya mereka sahaja. Sebaliknya, ia turut merangkumi penulisan biografi, memoir dan sebagainya.

“Penerbitan biografi, autobiografi dan memoir justeru lebih penting berbanding karya-karyanya terutama untuk melihat dan menilai proses kepengarangan, konsep seni dan falsafah anutannya yang dibicarakan secara denotif tanpa bersembunyi.

“Maka wajarlah biografi, autobiografi dan memoir pengarang Melayu moden yang terkenal disusun perancangan penulisan dan penerbitannya. Jika biografi yang ingin dihasilkan, wajarlah semua data dan maklumat yang penting diperoleh daripada pengarang sendiri terutama ketika ingatannya masih kuat,” katanya.

Selain itu, Dr. Anwar berkata, DBP perlu memainkan peranan yang lebih luas dalam penerbitan tersebut dengan menangani projek penyelidikan sastera modennya secara dalamannya.

“Akan tetapi, jika DBP merasakan sebaliknya, maka penyelesaian yang terbaik ialah dengan memanfaatkan sarjana-sarjana sastera di IPTA tempatan,” tambah beliau.

Oleh itu, Dr. Anwar seperti juga Dr. Muhammad melihat persoalan yang sama - semua pihak perlu memainkan peranan semaksimum mungkin untuk melakukan penyelidikan terhadap sastera Melayu supaya ia benar-benar wujud sebagai sebahagian daripada warga sastera dunia.

Namun, perjalanan ke arah itu bukanlah sesuatu yang mudah. Kedua-duanya berpendapat hanya penyelidikan, penulisan dan penerbitan termasuk biografi, memoir dan aoutobiografi sahaja yang dapat merealisasi cita-cita tersebut.

by: Utusan Malaysia

This entry was posted on Sunday, August 31, 2008 at 6:19 PM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment