SAUDAGAR BESAR DARI SUNGAI SUSU  

Posted by minz_tondekan in

Seragam putih itu begitu menarik perhatian. Malah sentiasa kemas dan bersih walaupun saban waktu terdedah dengan seribu satu macam warna. Putih itu kemudian bertukar merah, hijau, biru, kuning atau apa sahaja warna. Sungguhpun begitu, warna ini seakan memberi kepuasan baru. Dalam erti kata lain Daud Ikan mula jatuh cinta, dan keputusan Daud Ikan dirasakan tepat, malah dia langsung tidak menyesal kerana Daud Ikan punya semangat dan kemahuan untuk maju, berjaya, dan berilmu.

“Pedulikan cakap-cakap orang kampung, mereka tidak tahu apa yang betul untuk kamu, pergilah ibu restu, ingat jangan mudah menyerah kalah, jangan khianat kepada bangsamu, kenal asal usul” bertubi-tubi suara ibu menabur nasihat lewat petang itu. Daud Ikan pinjam kata-kata itu untuk bangun kemudian terjun ke dunia lain walaupun dia tidak punya kemahiran ke arah itu.. Bermulalah kehidupan Daud di hutan batu.

Daud Ikan belajar melalui dunia baru itu, menjadi kuli kuali, kawah, periuk, dan hamba beruk. Malangnya Daud terus dikenali sebagai Daud Ikan gara-gara kecenderungannya bercakap dengan ikan sewaktu berada di dapur, sedangkan hendak kenal jenis ikan pun Daud Ikan tidak pasti namun Daud tetap dikenali sebagai Daud Ikan atau D.I. Anak jati Kampung Susu ini yang jarang naik darah, lebih gemar menghabiskan masa melihat ikan dari makan ikan ini unik orangnya. Bagi D.I. ikan ada kaitan dengan hidup manusia.

Ikan adalah anggota vertebrata poikilotermik berdarah dingin yang hidup dalam air, bernafas mengunakan insang. Ikan merupakan kelompok vertebrata yang pelbagai jenis dengan jumlah spesies lebih dari 27,000 di seluruh dunia. Umumnya ikan tergolong dalam kelompok paraphyletic, sepsis ikan dibahagikan kepada beberapa kelas antaranya ikan tanpa rahang (kelas Agnatha, 75 spesies termasuk lamprey dan ikan hag), ikan bertulang rawan (kelas Chondrichthyes, 800 spesies termasuk hiu dan pari), dan sisanya tergolong ikan bertulang keras ( kelas Osteichthyes ).

Ikan memiliki bermacam ukuran, mulai dari paus hiu yang berukuran 14 meter (45 ft) hingga stout infantfish yang hanya berukuran 7 mm (kira-kira 1/4 inci). Terdapat beberapa haiwan air yang sering dianggap sebagai "ikan", seperti ikan paus, ikan cumi dan ikan duyung, yang sebenarnya tidak tergolong sebagai ikan.

Selama D.I makan gaji di sebuah restoran di ibu kota, D.I sering berada dalam dilema. Setiap hari D.I menipu. Perasaan bersalah menghantui. Pernah suatu ketika, seorang senior membaling kek kepada D.I gara-gara dia enggan memasukkan wain atau rum ke dalam adunan kek. “Follow my order or I will kick you out from here!!” berang Mr.David bila mengetahui D.I. enggan melakukan arahan yang diberi.

Bagi D.I. kek yang masam itu bukan makanan manusia. Itu makanan jerung. Lantas D.I terfikir sejenak- jerung tergolong dalam kelas ikan yang bagaimana? D.I. keliru dan menyesal kerana dia sudah jarang menonton National Geographic sejak akhir-akhir ini. Fikir D.I lagi, manusia sekarang sudah tidak pandai menilai juga tidak sama macam ikan. Sebabnya mereka suka datang ke restoran-tempat D.I bekerja. D.I tetap dengan pemikiran tentang ikannya terus berfikir bagaimana manusia yang tidak macam ikan mahu menilai seperti ikan? D.I terus bingung.

Suatu ketika, selain dari masalah kek masam, D.I juga bengang dengan suasana kerja, bagi D.I., dia juga mahu ruang dan peluang sama rata dengan rakan-rakan yang lain. D.I, rasa jemu dengan karenah senior yang rata-rata hanya kaki ampu. Bermulut manis menjanjikan resepi yang terbaik dalam setiap tempahan. Walhal kek masam itu mengandungi macam-macam sampah. Ironinya kek sampah itu tetap dilabel sebagai kek tersedap. Gila.. Penilaian ikan kelas Chondrichthyes, mereka lebih bijak dalam memilih makanan fikir Daud Ikan.

Nyata, Bertahun-tahun D.I bersubahat, menipu, malah D.I sendiri pernah menghidangkan makanan yang tidak halal, sedangkan logo tanda halal megah di dinding restoran. Fikir D.I, bagaimana logo HALAL ini mudah lekat tidak macam ikan-susah dan kena banyak sabar, guna jaring, atau pancing untuk tangkap ikan di sungai. D.I punya tanggungjawab semasa Islam jangan diabaikan. Bengang dan panas dengan sikap golongan ini D.I. mengambil keputusan menarik diri.

Memulakan sesuatu amat mudah tetapi untuk mempertahankan seluruh permulaan pengorbanan dan kudrat diperlukan. Atas tiket ini, Daud Ikan memulakan langkah pertamanya mengejar cita-cita. Daud Ikan memutuskan agar terus hidup dan berjaya di bumi Allah. Dia tidak mahu menjadi pokok ketapang, pokok meranti atau apa sahaja pokok kerana dia mahu jadi seperti ikan- bergerak.

Bilik itu sempit, sangat sempit sehinggakan tiada ruang untuk menyimpan barangan lain selain dari dirinya yang kedi itu, namun Daud tetap bersyukur kerana mempunyai ruang untuk melepaskan lelah. Ruang stor bangunan pejabat buruk itu adalah dunia baru setelah dia dihalau oleh tuan rumah yang serba masalah.

Bau badan tuan rumah yang mengubahsuai rumah menjadi beberapa bilik kecil itu bagi Daud Ikan tersangatlah busuk. Sampai satu tahap bau itu seakan tanda amaran tentang kedatangan tuan rumah meminta sewa bilik. “Tuan rumah datang”, ucap Daud Ikan sambil menghela nafas berat. Sesak. “Bagaimana kamu tahu?”” Bau dia saja sudah sampai dulu sebelum kaki dia jejak rumah ini kau tahu?” Pelik, tuan rumah busuk ini sering menindas dengan oroma badan yang pelbagai. Pemalas atau sememangnya tidak tahu menjaga kebersihan diri? Ada wang yang banyak.

Dia yang punya waktu yang cukup, punya kesihatan yang baik malah cukup bersyukur kerana di terima di sini. Sedangkan dia terpaksa menampung kehidupan hampir tujuh mulut di kampung. Justeru, Daud Ikan memutuskan untuk bekerja sambilan- di pasar borong. Bau ikan pelbagai rupa, saiz melekat di merata penjuru, bau itu kemudianya seakan sudah sebati dengan dirinya. Pasar borong Selayang itu menjadi nadi kepada sembilan orang adiknya yang masih kecil.

Peranan Daud Ikan sebagai pelajar, kuli, anak, dan abang dalam masa yang sama mematangkan dirinya. Usianya yang baru 23 tahun itu sebetulnya menidakkan raut wajah Daud Ikan dek lantaran dirinya yang sering berhempas keringat. Daud sedar dia tidak punya harta selain dari keluarga di kampung, malah dia juga faham mengapa dia tercampak di kota besar ini. Daud Ikan bertekad bulat seperti bola. Dia mahu berjaya. Cita-citanya hanya satu menjadi saudagar ikan. Segalanya tentang ikan. Bukan tukang masak telunjuk orang mahupun pengkhianat bangsa.

Dunia baru Daud bermula terlalu payah. Dia sendiri terpaksa bersaing dengan pekerja-pekerja asing yang sepuluh kali lebih rajin daripada dirinya. Fikir Daud Ikan, tidak hairanlah kenapa ramai pemilik kedai di pasar ini menyewakan premis kedai kepada bangsa asing. Mereka lebih tabah, dan tentunya lebih murah. Ironinya Daud juga rajin, murah malah dia rela menjadi kuli di sini.. namun hakikat yang pasti dia juga tidak mampu bersaing warga Nepal, Myammar, Kemboja, dan Indonesia itu. Tidak mampu dari segala segi.

Daud Ikan semakin lelah. Hidup di kota besar perlu terus. Wang harus dicari, akalnya semakin menipis. Dia masih meneruskan pengajian sambil terus bekerja. Daud Ikan pasti akan membawa ibu tua dan adik-adiknya tinggal bersamanya suatu hari nanti. Semuanya bermula dengan angan tetapi akan berakhir dengan sebuah kejayaan. Daud enggan berfikir banyak tentang persaingan itu lagi, baginya kini itu perkata enteng. Tekad Daud Ikan hanya mahu berjaya. Namun, matlamat tidak menghalalkan cara individu.

Dia mampu menamatkan pengajian di kolej komuniti itu, sekarang D.I punya wawasan, punya semangat kerana sekarang dia mampu bersaing. Memberi nafas baru kepada kehidupan. Mencari langkah terbaik memulakan sesuatu tanpa ragu. Melakar kejayaan dalam kepayahan. Namun segala itu mematangkan diri Daud Ikan sendiri. Dia yang bermula dari bawah, dari sebawah-bawahnya enggan berpatah lagi.

Lampu yang merah kemudian bertukar hijau, D.I harus segera melarikan kenderaan menuju ke sekolah. Waktu persekolahan hampir tamat, sambil menggaru kepala yang tidak gatal dia mengelamun lagi , masih tentang ikan malah nama anak Daud Ikan sempena nama ikan- Sphyraena Forsteri. Sejenis ikan laut dalam, punya keistimewaan tersendiri walaupun bersaiz kecil berbanding dengan sepsis ikan laut dalam yang namun tetap lincah, menarik, dan sukar dipancing.

Peranan Daud Ikan sebagai bapa terus digalas sebaik mungkin .Maklumlah bermacam-macam kes melibatkan kanak-kanak akhir-akhir ini. Buktinya Daud Ikan sendiri memastikan setiap anak-anaknya punya perhatian dan didikan agama yang cukup. Perniagaan Daud Ikan semakin berkembang maju hasil kerja kerasnya selama 10 tahun itu. Kini Daud Ikan mampu menjadi membekal makanan laut ke beberapa buah restoran sekitar ibu kota. Suatu hakikat yang pasti, Daud Ikan masih merindui kenangan di pasar bersama ikan.

Beberapa waktu berlalu, Daud Ikan terus kukuh dan maju dalam dunia masakan sambil dibantu isteri-isterinya. Setiap satu dari mereka punya cawangan yang berbeza. Daud Ikan berjaya melawan cabaran hidup dulu. Namun Daud Ikan masih sama dengan dunia ikan dan falsafah ikan. Dia bangga punya empayar perniagaan berasaskan ikan dan punya ilmu tentang ikan. Kolam-kolam ikan miliknya itu laris dengan tempahan. Satu yang pasti Daud Ikan sudah jarang pulang ke kampung. Semuanya ada di sini. Sambil tersenyum melihat anak-anak ikan berenang, Daud mula memikirkan strategi baru untuk memajukan perniagaan. Kedengaran bunyi burung berkicau. Lantas Daud Ikan tersenyum. Burung!


BY: Ina_Azlina

This entry was posted on Thursday, August 7, 2008 at 12:01 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

1 comments

Anonymous  

wah..bnyak penulis tau psl ikan2 ni! selalu pegi pasar ke?hehe.

August 7, 2008 at 2:07 AM

Post a Comment