Pengarang Malaysia Perlu Berjiwa Besar  

Posted by minz_tondekan in

ADA satu pemahaman yang sangat sempit di kalangan khalayak sastera di Malaysia hari ini. Muncul pandangan bahawa kesusasteraan tanah air dan mungkin juga Nusantara tidak mampu melangkah jauh sebagaimana sastera Eropah, Amerika mahupun Amerika Latin.

Keberatan mereka berdasarkan alasan tidak ada perubahan bermakna dalam karya-karya semasa jika dibandingkan pengarang-pengarang Eropah dan Amerika Latin yang mendominasi Anugerah Nobel Kesusasteraan dan sebagainya.

Namun, benarkah persoalan itu sinonim dengan sastera Malaysia dan Nusantara hingga ke hari ini? Atau, kita ketandusan pengarang-pengarang berwibawa yang mampu memikul tanggungjawab kreatif secara keseluruhan untuk bergerak lebih jauh?

Satu isu yang menjadi topik hangat ketika memperkatakan sastera tanah air ialah ketiadaan pengarang yang berani menelusuri pelbagai kompleksiti dalam ekonomi, politik dan sosial untuk diangkat sebagai tema penulisan secara tuntas.

Mereka seolah-olah terbelenggu dengan peraturan dan kehendak khalayak sastera semasa yang menginginkan karya-karya yang ringan dan tidak `membebankan’ hingga tidak terlalu sedikit penulis yang berjiwa besar.

“Untuk menjadi besar, pengarang harus berfikir besar. Berfikir secara sasterawan besar. Bermimpilah, tapi di atas kenyataan dan persediaan. Aturlah projek besar. Kalau seorang penyair, jangan hanya mencoret sebuah sajak di tepi pantai.

“Bayangkan sebuah sajak yang ditulis di semua pantai Malaysia yang menjelmakan makna lautan, sejarah negara maritim ini dan juga manusia yang dibentuk oleh air,” kata Sasterawan Negara Prof. Dr. Muhammad Salleh pada Seminar Sasterawan Dalam Pembinaan Peradaban Malaysia baru-baru ini.

Seminar dua hari tersebut merupakan anjuran Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sempena Hari Seniman 2008 peringkat institusi seni tersebut.

Beliau berkata, pengarang-pengarang tersohor dunia mencipta nama dan mempunyai kekuatan luar biasa dalam kepengarangan kerana mereka mempunyai cita-cita, idea dan gagasan besar tanpa mengenal erti mengalah.

Katanya, pengarang Nikos Kazantzakis misalnya mengambil masa 20 tahun untuk menyambung naskhah Odessey oleh Homer atau Pablo Neruda menulis sajak panjang tentang keajaiban Macchu Picchu. Begitu juga Murasaki Shikibu menghasilkan novel pertama dunia, Genji Monogatari pada abad ke-10.

Sebenarnya, banyak contoh-contoh lain untuk lahir sebagai pengarang besar. Dalam perkembangan kesusasteraan Eropah, lahir penulis besar yang cuba mengubah keadaan dan bebas dari belenggu institusi keagamaan (gereja dan kehendak para padri) dalam berkarya.

Gustave Flaubert yang menghasilkan novel Madame Bovary (1857) misalnya dituduh sebagai tidak bermoral dan membawa unsur-unsur negatif kepada masyarakat hanya kerana melahirkan tulisan yang bertemakan sisi-sisi gelap dalam masyarakat Eropah.

Tuduhan sama diterima oleh D.H Lawrence selepas karyanya Lady Chatterly’s Lover diterbitkan hanya kerana dia memperkatakan isu-isu sosial dan kelemahan birokrasi.

James Joyce yang menghasilkan Ulysses, terpaksa menerbitkan karyanya itu di Perancis, kerana dianggap mengandungi unsur lucah yang bertentangan dengan nilai-nilai moral.

Bagaimanapun pengarang-pengarang tersebut berjaya menghasilkan karya yang besar dan memberi sumbangan mengkagumkan kepada kesusasteraan Eropah dan dunia kerana mempunyai keberanian untuk menentang arus dan institusi yang membelenggu.

Sebenarnya, jauh sebelum itu, sudah ada pengarang-pengarang tersohor dunia yang berani mengungkapkan tema-tema yang rencam tentang masyarakatnya. Daniel Dafoe di abad ke-18, misalnya berani menghasilkan novel tentang pelacuran di abad ke-16 melalui Moll Flanders.

Francois Rabelais dengan karya Gargantua and Pantagruel juga turut mengkritik tentang kepincangan manusia termasuk golongan birokrat di Eropah selepas era Pencerahan.

Ada banyak lagi pengarang tersohor dunia yang menjadi penulis agung kerana keberanian dan berjiwa besar. Geoffrey Chaucer pengarang abad ke-14 (sebelum Shakespeare) melalui karyanya Canterbury’s Tales, melukiskan keanekaragaman karakter manusia daripada yang baik hingga sosok pelacur.

Oleh itu, untuk menjadi pengarang besar, Dr. Muhammad menggariskan beberapa pendekatan. Antara lain beliau menyarankan supaya seseorang itu perlu menulis atau berkarya sebanyak mungkin. Dari yang banyak itu mungkin tumbuh karya yang unik dan luar biasa.

“ Bangsa yang banyak menulis membuktikan mereka wujud dan berfikir. Tanpa banyak buku dan banyak berfikir, kita akan menjadi satu bangsa yang boleh dimainkan zaman dan diktator yang pandai membaca akal orang,” tambah beliau.

Di sisi lain, beliau juga mencadangkan supaya penulisan yang berterusan perlu dilakukan oleh pengarang sebagai latihan berkarya, sekali gus mematangkan seseorang.

Seseorang pengarang juga perlu berani bersaing dengan penulis-penulis lain di belahan dunia supaya tidak terus menjadi bangsa yang kecil. Untuk menang dalam saingan tersebut, buku-buku oleh pengarang agung diperkukan sebagai panduan serta rujukan.

Dalam pada itu, Datuk Dr. Anwar Ridhwan berkata, seharusnya kesusasteraan Melayu mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri untuk menjadi sebahagian daripada sastera dunia meskipun ia bermula dengan tradisi lisan.

Ini kerana, sastera Melayu dipengaruhi oleh tamadun-tamadun awal dunia iaitu Hindu dan Buddha. Seterusnya Islam, yang menggunakan medium kesusasteraan untuk memperkasakan ketauhidan segenap ajarannya.

“Persoalan sastera lisanlah yang meletakkan masyarakat Melayu dalam pertanyaan; adakah mereka mempunyai tamadun kerana pada perkembangan awal, mereka tidak mempunyai tulisan dan seni bina seperti peradaban lain.

“Islamlah yang memulakan tradisi tulisan dalam persuratan Melayu secara menyeluruh. Walaupun sebelum itu terdapat tulisan-tulisan seperti Pali, Kawi, Palawa dan sebagainya, namun ia tidak diterima oleh masyarakat Melayu,” ujarnya.

Katanya, Islam jugalah yang menjadi inti kepada perkembangan persuratan di Nusantara yang bermula dengan karya yang sinonim dengan nilai-nilai tauhid, sufisme dan falsafah Islam.

Pada era kegemilangan kerajaan Islam Aceh di bawah pimpinan Sultan Iskandar Muda misalnya, unsur sufisme dalam persuratan wacana yang sangat hebat melibatkan pemikir-pemikir besar seperti Hamzah Fansuri, Abdul Rauf Singkel dan Shamsuddin Al-Sumatrani.

“Tradisi persuratan yang kukuh inilah sewajarnya menjadi asas kepada pembinaan yang kukuh untuk kesusasteraan moden Malaysia hari ini untuk menjadi sebuah tradisi yang kuat,” katanya.

Seorang lagi pembentang kertas kerja, Rohani Md. Yousoff yang memperkatakan kertas kerja bertajuk Peradaban Islam Dalam Teater: Tinjauan Teater Fitrah Noordin Hassan berkata, Sasterawan Negara itu berjaya membebaskan dirinya daripada gaya pengkaryaan Barat.

Sebaliknya, beliau menggunakan naluri berasaskan agama, pengalamannya sendiri diisi dengan peradaban Islam dan budaya Malaysia yang dikenali sebagai Teater Fitrah.

“Untuk membezakan falsafah Barat dan Teater Fitrah ialah keyakinan kepada hakikat Islam bahawa manusia berkehendakkan mereka beriman kepada Allah dan dia berdakwah melalui teater,” katanya.

Kesimpulan mudah yang ditekan oleh Rohani ialah penggunaan ancuan sendiri dalam berkarya tanpa mengira genre. Dan, beliau mengambil contoh Sasterawan Negara Nordin Hassan sebagai contoh.

Sama seperti pandangan Dr. Muhammad dan Dr. Anwar, Rohani juga melihat kelahiran naskhah dan karya besar mesti diiringi oleh jiwa serta cita-cita besar seseorang untuk melahirkan karya yang terbaik.

Sementara itu, budayawan dan ahli akademik, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling ketika menyampaikan ucaptama seminar tersebut berkata, untuk mendapat ilham ke arah daya cipta yang luar biasa serta mengkagumkan, ia memerlukan pelbagai pendekatan serta anjakan.

Aspek yang perlu dilaksanakan ialah pembinaan alam fikiran yang meluas, holistik dan mendalam sebagai alat pengamatan ke atas fenomena alam dari perspektif baru dan berlainan.

“Keupayaan membina satu pandangan dunia (world view) yang menyeluruh dari perspektif yang luas akan luas akan dapat memberi sudut pandangan baru terhadap fenomena alam dan manusia.

“Pembinaan alam fikiran yang holistik dan menyeluruh inilah menjadi permulaan kepada tanggapan serta gagasan yang mengalih suatu sudut pandangan kepada yang lebih baru,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, para sasterawan dan pengarang sangat memerlukan sudut pandangan lain dan baru untuk dapat mencipta karya yang berhasil dan revolusioner.

Landasan kepada kepada pembaharuan tersebut ialah minda yang sedia menerima ilmu yang cukup mendalam dalam sesetu bidang yang relevan serta berkaitan dengan tumpuan perhatian dan keinginan diri.

“Disinilah terbitnya sumbangan terhadap pembinaan peradaban di kalangan sastera dan sasterawan,” tambah beliau.


ARKIB UTUSAN MALAYSIA

This entry was posted on Monday, August 18, 2008 at 12:01 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment