IMPIAN HANYA TINGGAL KENANGAN  

Posted by minz_tondekan in

Motorsikal usang model Honda EX5 itu semakin laju kupecut. Kini kelajuannya telah menjangkau hampir 100km/j. Helmet tanpa visor kepunyaanku mengakibatkan mataku mula berair, kesan angin yang seolah-olah menikam masuk ke dalam mata. Pedih! Tapi sebenarnya sedih! Fikiranku ketika itu masih lagi dibelenggu oleh berita yang baru kuterima dari rumah sebentar tadi. Nyata, ianya betul-betul meremukkan hatiku. Kesedihannya, tidak dapat ku gambarkan. “Kenapa semuanya terjadi kepadaku, kenapa bukan orang lain yang merasakannya?” Aku terus dibelenggu tanda tanya. Segala masalah yang kuhadapi ternyata merobohkan segala impian yang telah kubina suatu ketika dahulu. Ternyata impian itu kini hanya tinggal sisa-sisa, sia-sia sahaja segalanya.

“Ah, mengapa, mengapa semua ini berlaku?” persoalan itu terus bersarang dimindaku. Tidak pernah kurasakan perasaan sebegini sepanjang hidupku. Sedih, kecewa, hampa dan sengsara bercampur aduk tergoncang di dalam jiwaku. Terlalu payah untuk aku menghadapinya seorang diri. Siapakah yang mampu untuk aku jadikan sebagai teman berkongsi masalah bersama, sudah tidak ada dalam kamus kehidupanku. Semuanya telah terpadam satu-persatu. Hanya tuhan sahaja yang kuharap mampu! Itulah sahajalah harapanku.

Aku terus memecut motor itu tanpa menghiraukan apa-apa. Keheningan cuaca malam yang menusuk hingga ke dasar tulangku langsung tidak memberi impak. Kenderaan-kenderaan yang kurasakan menghalang laluanku satu persatu kupintas. Aku mencelah kekiri kekanan. Semuanya sudah tidak kurisaukan lagi, matlamatku hanya agar segera sampai kerumah. Rasa gusar dan panik yang kurasakan ketika itu sedikit menjejaskan tumpuanku. Sedang aku mencelah masuk untuk memintas sebuah kereta, tiba-tiba cahaya yang begitu terang muncul dari arah hadapanku. Lantas, segala yang berlaku tidak dapat kusedari lagi. Hilang dari dalam ingatan...

Bercerita tentang latar belakang, sebenarnya aku bukanlah berasal daripada keluarga yang senang. Bapaku hanyalah seorang buruh kasar yang bekerja di sebuah ladang kelapa sawit. Ibuku pula hanya menjadi suri rumahtangga kerana terpaksa menjaga bilangan adik-beradikku yang ramai, 6 orang semuanya. Sedang aku merupakan anak kedua dalam adik-beradikku. Namun, dengan pendapatan keluarga yang kecil tidak mencukup untuk menampung perbelanjaan bilangan ahli keluarga yang terlalu ramai.

Oleh itu, ibuku sekali-sekala mengambil upah untuk menjahit pakaian.
Sekurang-kurangnya dapatlah menambah serba sedikit pendapatan keluarga. Abangku yang sulung pula telah berhenti setakat tingkatan 5 disebabkan dia sudah tidak berminat lagi untuk terus belajar . Tapi, dalam keadaannya seperti itu, sekali-sekala sahaja dia pergi membantu bapaku bekerja. Manakala aku sekarang masih lagi belajar dan kini berada di tingkatan enam atas. Adik-adikku yang lain pula, 2 daripadanya belum bersekolah lagi..

“Ingat Aiman, kau mesti menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada adik-adikmu..kau sajalah harapan keluarga.” Nasihat ibu kepadaku. “kalau nak harapkan abang kau tu, apalah yang dia boleh dapat. Belajar setakat tingkatan 5 sahaja. Susah nak cari kerja sekarang!” tambah ibuku lagi. Aku sememangnya dah bosan dengan nasihat-nasihat ibu. Setiap kali, itu saja yang diperkatakan kepadaku. Tapi, kadang-kadang bila difikirkan semula, aku rasa apa yang diperkatakan ibu ada benarnya, seharusnya aku patut lebih gigih berusaha dan menjadi contoh yang baik kepada adik-beradikku yang lain.

Penghujung tahun ini, aku akan menghadapi satu ‘peperangan’ yang akan menentukan masa depanku. Kekecewaan yang kulalui semasa peperiksaan SPM masih lagi kurasakan. Sungguh perit untuk kuterima. Rasanya, ini sajalah peluang yang tinggal untuk aku menebus segala-galanya. Azamku, menjelang peperiksaan STPM yang bakal aku tempuhi tidak lama lagi, aku menumpukan sepenuh perhatian dalam pelajaran. Tidak mahu rasanya aku mempersia-siakan peluang sebegini. Harapan dan impianku hanyalah untuk melangkahkan kaki ke menara gading dan seterusnya bertekad untuk mengubah seluruh kehidupan keluargaku. Ya, itulah harapanku! Semoga peluang yang aku miliki sekarang dapat aku gunakan sebaik-baiknya. Aku perlu tanamkan azam baru dalam hidupku.

“Man, tahniah!” itulah ungkapan pertama yang kuterima daripada cikgu Ridhwan, guru yang paling aku rapat semasa di sekolah. Slip peperiksaan yang berada didepanku kuperhatikan dengan teliti. Seolah-olah tidak percaya dengan apa yang telah kuperolehi. “Alhamdulillah..Ya Allah!” jeritku dalam hati. Aku begitu bersyukur bila memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan itu. Ternyata usahaku selama ini tidak sia-sia. Sudah tidak sabar-sabar rasanya untuk aku pulang kerumah dan menunjukkan slip keputusan peperiksaan ini kepada seluruh ahli keluargaku. Aku yakin, mereka pasti gembira dengan berita ini. Terutama sekali ibuku yang begitu mengharapkan kejayaanku selama ini. Sesungguhnya berkat doa dari ibu, aku dapat merasai semua ini. Dalam pada masa itu juga, sudah tergambar bayangan unversiti-unversiti yang akan menjadi medan perjuanganku seterusnya. “Alhamdulliah..aku bersyukur kepadamu ya Allah!” Aku terus memanjatkan kesyukuran kepada Allah.

Sesampainya aku di rumah, aku terus meluru masuk kedalam dan bergegas menemui ibuku yang ketika itu sedang berada di dapur, ternyata dia begitu gembira dan sungguh terharu dengan keputusan peperiksaan yang aku perolehi. Begitu juga dengan adik-beradikku yang lain. Semuanya bersyukur dengan kejayaanku ini. Hanya tinggal ayahku sahaja yang belum mendengar berita ini. Tapi aku yakin, ayah pasti gembira bila dia tahu tentang hal ini.

Kepulangan ayah dari kerja petang itu aku sambut dengan senyuman. Fikirku, dia pasti gembira mendengar berita tersebut. “Ayah, Aiman dah dapat keputusan STPM tadi. Dia dapat jadi best student kat sekolah!” ujar adikku Aini cuba memberitahu ayah tentang berita gembira itu. Aku hanya terdiam menunggu reaksi ayah. Aku harap ayah gembira. Namun, sebaik sahaja ayah mendengar berita itu dia hanya tersenyum dan kemudian tak semena-mena reaksi mukanya berubah. Dia tidak berkata apa-apa dan terus masuk ke dalam bilik. Dalam fikiranku, mesti ayah runsing memikirkan hal kewangan sekiranya aku dapat meneruskan pengajianku ke peringkat universiti. Aku faham dengan keadaan keluargaku, tapi hanya itulah harapanku. Harapan yang aku idam-idamkan selama ini..

Petang esoknya, semasa aku sedang duduk di anjung rumah, ayah datang kepadaku dan menjelaskan segala-galanya. Sememangnya dia begitu gembira dan berbangga mendapat anak seperti aku, namun keadaan menyekat segala-galanya. Ayah memberitahuku bahawa kemungkinan dia akan diberhentikan bekerja di ladang tempat dia bekerja sekarang disebabkan ladang itu akan ditutup tidak lama lagi.

Selepas mendengar penjelasan daripada ayah, aku semakin faham dengan tindakan ayah semalam. Kemungkinan untuk aku melangkahkan kaki ke universiti semakin tipis. Tapi, ayah berjanji kepadaku yang dia akan berusaha untuk mendapatkan wang secukup mungkin supaya cita-citaku yang kuimpikan selama ini tercapai. Itulah janjinya kepadaku. Janji yang betul-betul membakar semangat juangku.

Dalam pada itu juga, aku cuba untuk mencari ikhtiar lain agar harapanku itu tidak terkubur. Namun, memikirkan masalah yang dihadapi keluarga aku semakin bingung. Adakah aku perlu mementingkan hal diriku dahulu atau keluarga yang perlu aku dahulukan. Adik-adikku masih lagi bersekolah dan ayah pula kemungkinan besar akan diberhentikan tidak lama lagi. “Ah, apa yang perlu aku lakukan sekarang?” fikirku cuba mencari jalan penyelesaian. Harapan yang aku impikan selama ini hanya tinggal selangkah sahaja untuk aku kecapi namun aku juga perlu memikirkan hal keluarga.

Setelah memikirkan masalah itu, aku mengambil keputusan untuk bekerja sementara menunggu keputusan tawaran daripada universiti yang akan keluar tidak lama lagi. Harapanku semoga aku dapat mengumpul sediikit duit sebagai bekalan untuk meneruskan pelajaranku nanti. Aku diambl bekerja di sebuah kedai runcit berdekatan pekan. Selama hampir 3 bulan aku bekerja, aku telah dapat mengumpul sedikit wang untuk aku jadikan wang perbelanjaan di universiti nanti. Dan sebahagian daripada gaji yang kuterima itu aku serahkan kepada ibu untuk dijadikan belanja harian keluarga. Sekurang-kurangnya, dapatlah aku membantu mengurangkan beban keluarga.

Selang seminggu kemudian, surat yang kutunggu-tunggu selama ini sampai juga ketanganku. Aku telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di sebuah universiti tempatan. Ketika itu, dapat kurasakan bahawa impianku sudah berada di betul-betul di hadapanku ketika ini. Dan perkara yang mengembirakan aku lagi, ayah dan ibu bersetuju supaya aku meneruskan pembelajaran. Ternyata, inilah peluang yang kunanti-nantikan selama ini. Ya, aku mesti berjaya! Itulah tekad yang kutanam betul-betul dalam diriku.

“Aiman, datang hospital cepat! Ayah kau...” belum sempat ibu menghabiskan kata-katanya, talian tiba-tiba terputus. Aku yang sebelum itu sedang menyusun barang di kedai Pak Mat segera bergegas menuju ke hospital. Sebaik sahaja aku sampai ke hospital, aku terkejut bila melihat ayahku berada di dalam bilik kecemasan. Kata ibu, ayahku pengsan secara tiba-tiba. Doktor yang telah memeriksanya memberitahu yang ayahku diserang penyakit jantung. Aku betul-betul terkejut bila mendengar berita itu kerana setahu aku, ayah sihat sahaja selama ini. Ini mungkin suratan takdir, aku terpaksa menerimanya. Ternyata musibah yang menimpa menguji keimananku lagi.

Tapi, diwaktu genting sebegini, abangku tidak muncul-muncul lagi dari tadi. Entah dia hilang kemana, aku betul-betul kecewa. Sepatutnya dia harus berada bersama-sama bersedih melihat keadaan ayah sekarang. “kenapalah abang jadi macam ni..” fikirku.

“Nampaknya, duit yang Aiman bagi kat ibu hari itu terpaksalah ibu gunakan untuk rawatan ayah..harap Aiman faham.” Aku teringat kata ibu semasa makan malam tadi. Sememangnya aku harus faham dengan masalah sekarang, wang itu tidak penting tapi nyawa ayahku lebih penting. Memikirkan masalah yang aku hadapi ketika ini, kemungkinan aku terpaksa melupakan impianku untuk ke menara gading. Namun di hati kecilku masih lagi tertanam tekad untuk aku terus berusaha mencari jalan penyelesaian agar impianku tercapai. Semuanya aku pendam sendirian.

Selang beberapa hari selepas itu, satu lagi ujian dari Allah menguji keteguhan imanku, kali ini aku menerima berita yang ternyata meruntun hatiku, membuat aku hilang pertimbangan. Berita tentang abangku yang telah ditangkap kerana menagih dadah. “Ah, kenapa ini semua boleh berlaku?” Abang Imran yang merupakan anak sulung sememangnya sangat aku hormati. Malangnya berita yang mengejutkan ini meruntuhkan rasa hormatku selama ini kepadanya. Bagaimana dia boleh terjebak dengan najis dadah itu dalam keadaan keluargaku seperti sekarang? Argh! Aku seperti tidak mampu menerima suratan takdir. “Ya Allah..berikanlah aku kekuatan.”

Selepas kejadian itu, keluargaku semakin dihimpit kesusahan. Duit pendapatan aku dan ibuku ternyata tidak cukup untuk menampung semuanya. Kos perubatan ayahku memakan belanja yang besar, begitu juga dengan perbelanjaan persekolahan adik-adikku. Kemudian ditambah lagi dengan masalah abangku yang kini berada di pusat serenti, ibu terpaksa menghantar sedikit wang kepadanya untuk perbelanjaannya di sana. Sedikit sahaja baki duit yang tinggal untuk menampung perbelanjaan harian rumah. Sememangnya ia tidak cukup untuk menampung kami sekeluarga.

Aku betul-betul rasa diuji. Harapanku untuk ke menara gading semakin malap. Hanya tinggal seminggu sahaja tempoh untuk melaporkan diri ke universiti. Namun aku tidak lagi mempunyai persiapan apa-apa. Rasanya seperti tidak mahu untuk pergi meninggalkan ibu keseorangan menjaga ayah dan adik-adikku. Sedih..

Hari itu merupakan hari terakhir aku bekerja, seperti biasa aku menghabiskan kerja-kerja yang perlu aku siapkan sebelum pulang. Jam ditanganku menunjukkan pukul 8.45 malam. Lalu aku ke belakang kedai untuk mengambil beg galas yang kubawa ke tempat kerja setiap hari. Kemudian, Pak Mat yang sedang duduk di bahagian kaunter tiba-tiba menjerit memanggil namaku. Katanya, ibuku menelefon dari rumah. Ah! Apa lagi yang telah terjadi?

Hatiku berdebar-debar ketika menyambut gagang telefon dari tangan Pak Mat. “Hello, bu!” aku menyapa ibu dengan suara yang rendah, cuba untuk menenangkan perasaanku. “Aiman, Ayah dah meninggal nak!” suara ibu disahuti esakkan tangisnya. Mulutku terkedu, tidak dapat berkata apa-apa. Ternyata ungkapan itu menghancurkan perasaanku. “Ah, mana mungkin!” aku cuba menafikan. Tanpa membuang masa, aku terus berlari mendapatkan motosikal usang milik ayahku yang berada di hadapan kedai. Segera aku menghidupkan enjin dan terus memecut motosikalku menuju ke rumah. Fikiranku hanya terbayang wajah ayah. Janji-janji ayah suatu ketika dahulu untuk merealisasikan impianku terngiang-ngiang ditelingaku ketika itu. “Ayah!!!” jeritku. Adakah semuanya telah tercatat dalam suratan takdir? Ya Allah, sungguh besar dugaanMu terhadap diri ini. Sesungguhnya hanya Engkau yang tahu segala-galanya...


by: minz_tondekan

This entry was posted on Saturday, August 2, 2008 at 6:49 PM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

3 comments

Isk..Isk...sedihnya...(T.T)
Tapi lebih elok jika jalan cerita diteruskan untuk menceritakan kesudahan samada Aiman dapat ke menara gading atau tidak...

August 3, 2008 at 1:48 AM
Anonymous  

nice..penuh pengajaran
cerita yg menarik..
:)teruskan usaha...

f : budak_plu

August 3, 2008 at 1:42 PM
Anonymous  

budak,hyorin..harap cerpen2 ini dapat memberi sedikit keinsafan kpd kita semua.papepun,thanks cz sudi baca cerpen saya ni..!

August 5, 2008 at 10:40 PM

Post a Comment