ORANG MINYAK  

Posted by minz_tondekan in

Sinopsis

Filem ini mengisahkan seorang profesor muda pusat pengajian tinggi bernama Dian yang membuat kajian berhubung kewujudan Orang Minyak di Kampung Silang. Sebelum ini, Dian tidak mempercayai dengan kewujudan Orang Minyak Setelah dia mendengar kisah yang diceritakan oleh Munir yang berlaku lebih dua tahun lalu,dia mula mempercayai kewujudan makhluk yang terkenal di kalangan masyarakat Melayu itu. Semasa di Kampung Silang, Pak Junid menempatkan Dian di rumahnya.

Kebetulan pada masa yang sama, semasa Dian berada di Kampung Silang, penduduk kampung itu sedang menyaksikan majlis pertunangan gadis bernama Ina dengan majlis bersukaria tetapi dicemari oleh amukan Orang Minyak. Sebelum ini, Orang Minyak yang telah mengganas di kampung itu telah ditawan oleh Pak Junid dan seorang pemuda tampan yang penuh dengan ilmu persilatan, Munir.

Kisah Orang Minyak bermula apabila seorang pelajar silat yang tamakkan kuasa dalam ilmu persilatan, Malik Kumbo telah termakan dengan hasutan syaitan. Dia tidak berpuas hati dengan pilihan gurunya yang lebih berpihak kepada seorang lagi pelajar, Munir. Maka, Malik bertindak membunuh gurunya.

Malik turut mengadakan perjanjian dengan syaitan untuk menjadikannya manusia berkuasa. Malik Kumbo dijanjikan syaitan ilmu yang lebih hebat dari Tok Gurunya. Begitupun, sebelum itu, dia harus bertukar menjadi Orang Minyak dan memperkosa seramai 21 gadis bagi mencapai impian jahatnya itu.

Bagaimanapun, pada suatu malam, Munir berjaya menangkap Orang Minyak terbabit dan memasukkannya ke dalam botol yang dibaca ilmu serapah dengan bantuan Pak Junid. Selepas itu, Munir mencampakkan botol tersebut ke dalam sungai jauh di pedalaman.

Malangnya, dua tahun kemudian, dua orang kaki pancing dengan secara tidak sengaja menemui botol itu yang tersangkut pada tali kail mereka. Menganggapnya sebagai tuah, dua lelaki terbabit membawa botol misteri tersebut pulang. Selepas botol tersebut tidak memberi sebarang tuah kepada dua orang kaki pancing tadi, botol tersebut dicampakkan lalu terkena kepala Bob Kuman iaitu watak seorang yang kuat makan.

Akhirnya, tudung botol itu dibuka oleh Bob Kuman yang sedang dahagakan air. Apabila tudung botol berkenaan terbuka, maka orang minyak kembali bebas dan mengganas serta meneruskan misinya.



KRITIKAN

Filem Orang Minyak versi 2007 ini bukanlah filem kitaran semula filem Sumpah Orang Minyak yang dihasilkan oleh Allahyarham Tan Sri P Ramlee pada 1958 dulu. Ia juga bukan kesinambungan kepada filem yang dibintangi pelakon legenda itu bersama Seri Dewi dan Salleh Kamil. Ia juga bukan filem Melayu klasik berjudul Serangan Orang Minyak pada 1958 terbitan Cathay Keris dengan arahan L. Krishnan yang dilakonkan Nordin Ahmad dan M. Amin.

Sebaliknya Orang Minyak terbitan Infohibur Productions Sdn. Bhd. membawa sebuah kisah baru hasil karya penulis lirik terkemuka, Loloq. Sayang sekali, Orang Minyak di bawah arahan Jamal dan Karan bukan saja gagal mengulangi bentuk hiburan yang pernah dinikmati menerusi hasil tangan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Krishnan, bahkan mereka mempersembahkan sebuah filem yang penuh dengan kelemahan teknikal, terutama mutu visual dan hasil kerja kameranya.

Dari sudut teknik, pergerakkan kamera di dalam Orang Minyak kelihatan kaku, tidak lancar, kabur dan tidak konsisten. Jika dilihat latar belakang, Jamal Maarif yang pernah terlibat di belakang kamera bagi cerita-cerita yang agak ternama seperti filem Selubung, Kekasih Awal dan Akhir, pembikinan iklan di dalam dan di luar negeri, maka, untuk Orang Minyak adalah tidak keterlaluan dikatakan agak memalukan. Imej pelakon yang kabur dapat disaksikan sepanjang tayangan lebih sejam. Kekurangan itu menjadikan keseronokan menonton semakin lama semakin hilang. Hal ini berikutan penonton mungkin pening melihat visual yang asyik hilang fokus,dan siapa tahu penonton juga boleh ‘naik minyak’.

Memang diketahui ramai, masalah fokus dan imej kabur sering berlaku dalam pembikinan filem tempatan. Namun, jika imej yang kabur lebih kerap muncul di layar lebar berbanding visual yang jelas, siapa yang tahan? Lalu, terfikir sendiri di kepala, bagaimana hasil yang boleh dianggap teruk daripada segi teknikalnya itu boleh lepas dari Lembaga Penapisan Filem Negara.

Perjalanan ceritanya juga banyak kali diganggu plot sampingan yang tidak mendatangkan faedah. Hanya dimasukkan untuk membuatkan penonton ketawa, ada kalanya ia langsung tidak ada kaitan dengan plot utama. Jiwa boleh jadi kacau kerananya. Belum lagi bercerita mengenai kontinuitinya. Ada banyak juga elemen yang tidak masuk akal. Contohnya, kalau emak dan anak kelihatan sebaya, siapa yang hendak menjelaskannya?

Selain daripada kerja-kerja kamera, mutu rakaman audio pula adalah amat rendah. Dalam Orang Minyak, pengucapan dialog yang memang tidak sama dengan pergerakan bibir pelakonnya adalah sangat ketara. Ada masanya, dialog kedengaran, tetapi siapa yang menuturkannya? Selain itu, bunyi latar yang menganggu dialog utama dan beberapa gangguan lain lagi, ianya menjadikan karya ini seolah-olah melepaskan batuk di tangga. Orang Minyak banyak bergantung kepada sistem bunyi yang baik, hasil sentuhan teknologi canggih di India, untuk menarik perhatian penonton. Sekali lagi, rakamannya bagai tidak diberikan keutamaan. Apabila sudah mendapat sentuhan teknologi bunyi yang baik, kenalah disokong muzik, dan kesan bunyi menarik.

Jika sebuah cerita yang bermutu diangkat dari jalan cerita yang bermutu dan menarik. Maka, Orang Minyak telah tewas sebelum bermula. Jalan cerita yang lemah dan tidak keruan. Sukar menempatkan genre filem ini di antara sebuah karya bergenre seram atau genre seram komedi. Mungkin, pengarah cuba memberikan sebuah karya yang mempunyai jalan cerita yang mudah, tetapi dengan imbasan serta beberapa perkara yang lain, kelihatan Orang Minyak sebuah jalan cerita yang cukup celaru. Selain itu, skrip hasil penulisan Loloq, yang muncul secara santai dalam karya ini, secara jujurnya, tidak dapat membantu menghangatkan Orang Minyak.

Pengeksplotasian kaum wanita sebagai modal untuk menimbulkan kontroversi ,sebagai pelaris Orang Minyak, dan sebagai penarik minat penonton ke pawagam, adalah mainan bagi Orang Minyak. Jika anda lebih berminat untuk melihat Zila Bakarin berkemban dan nampak tali baju dalamnya, melihat Sharifah Sofea yang berpakaian begitu seksi sebelum tidur, serta adegan tindih-menindih di antara orang minyak serta mangsa, maka cerita ini memang bersesuaian. Rasanya, dalam industri filem yang mementingkan mutu, pengeksplotasian seperti ini sudah pupus lama dahulu.

Selain itu, watak pakcik yang memakai baju Melayu dan kopiah yang sibuk menari dengan perempuan bukan muhrim di majlis pertunangan, serta watak lakonan Bob Kuman yang menonjolkan watak orang gemuk yang makan secara gelojoh, seolah-olah mengajak penonton mengecap orang-orang yang sedemikian seperti watak di dalam Orang Minyak.

Orang Minyak membariskan pelakon-pelakon yang agak ternama bagi audien di Malaysia seperti Fauzi Nawawi, Fizz Fairuz, Sharifah Sofea, Abon, Sathiya dan ramai lagi. Namun, seperti biasa ekspresi setiap pelakon adalah sama, tidak menjiwai watak, dan menyebabkan tidak berdaya mempamerkan lakonan yang mantap. Jika boleh diberi pujian, hanya Sathiya yang layak menerimanya, kerana mungkin jiwa komedi sudah sebati dengan dirinya.

Filem yang menelan belanja sebanyak 1.7 juta, hanya boleh berbangga dengan penggunaan DTS sebagai sistem bunyinya. Sistem bunyi yang dijalankan kerja-kerja penyuntingan di India ini, haruslah menerima pujian. Namun, bagi cerita gred C, penggunaan sistem bunyi yang hebat, masih tidak berupaya menarik khalayak ke pawagam. Jika filem bergenre aksi, penggunaan DTS mungkin berbaloi, tetapi, sebuah karya bergenre seram komedi ringgan, ianya seolah membazirkan wang sahaja kerana kos untuk DTS hampir mencecah sejuta ringgit. Dengan kos sebanyak itu, alangkah bagusnya jika diberikan perhatian kepada jalan cerita, watak, dan kerja-kerja kamera yang bermutu.

Walaupun filem ini mnedapat kutipan hampir 700 ribu ringgit sepanjang tayangan, mengatasi kutipan filem Hati Malaya iaitu sebanyak 400 ribu ringgit, tetapi filem ini merupakan filem paling teruk untuk tahun 2007. Dengan jalan cerita yang tidak keruan, kerja-kerja teknikal yang seperti melepaskan batuk di tangga serta pelbagai masalah visual yang teruk, filem ini sememangnya meletakkan filem Malaysia seolah-olah kembali ke tahun 80-an. Namun, usaha penerbitnya menghasilkan filem ini adalah baik untuk mengembalikan nostalgia kegemilangan filem sentuhan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dulu yang mana ia mendapat sambutan hebat ketika ditayangkan pada penghujung era 1950-an.


by: aedmaya

This entry was posted on Sunday, August 3, 2008 at 7:27 PM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

2 comments

ORANG MINYAK...ok aku belum baca lagi, lepas aku baca aku akan komen nnt... tq

August 3, 2008 at 7:48 PM
Anonymous  

aedmaya! jgn pnd nk kritik je..kna gak pndai trima kritikan org len k..

August 5, 2008 at 10:46 PM

Post a Comment