Mendedahkan Didaktisme Dalam Puisi  

Posted by minz_tondekan in

DIDAKTISME atau unsur pengajaran dalam sesebuah karya sastera yang memberikan pendidikan merupakan elemen penting dalam memperluaskan lagi daya keintelektualan dan penghayatan para peminat seni tersebut.Unsur didaktisme misalnya, banyak diselitkan menerusi cerpen, novel dan juga puisi di mana ia bersatu dalam suatu gaya bahasa yang indah beserta jalan cerita bagi menyampaikan sesuatu pengajaran mengikut gaya seseorang penulis.

Gaya penulisan dan latar belakang seseorang penulis amat memainkan peranan penting dalam menyampaikan sesuatu mesej berdasarkan pengamatan serta pengetahuan dalam bidang yang diceburinya itu.

Sebagai contohnya, seorang doktor akan lebih mudah untuk menulis puisi tentang nasib malang yang mungkin terpaksa dilalui oleh golongan miskin jika semua hospital kerajaan diswastakan ekoran kos perubatan yang kini semakin mahal.

Justeru, unsur didaktisme bukan sahaja penting dalam mengembangkan sumber ilmu pengetahuan, tetapi ia juga dapat mempelbagaikan lagi medium dalam dunia kesusasteraan yang amat luas skopnya.

Menyedari pentingnya peranan didaktisme dalam sastera termasuklah puisi, Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam) telah menganjurkan majlis Baca Puisi Kuala Lumpur, yang bertemakan Didaktisme & Kebenaran baru-baru ini.

Majlis yang berlangsung di Ruang Legar Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur itu menghadirkan ramai penyair yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang kerjaya.

Antara yang terbabit pada majlis itu ialah Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, Setiausaha Politik Menteri Pelancongan, Datuk Abdul Rahim Abu dan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Salleh Yusup.

Prof. Rahman Shaari yang menjadi hos dan penyair utama pada majlis itu tidak menafikan betapa golongan terbabit mempunyai persepsi dan kebenaran tersendiri yang hendak diketengahkan mengikut bidang kepakaran masing-masing.

"Bagi saya, kebenaran itu sesuatu yang umum sifatnya. Tetapi apabila ia dibicarakan oleh seseorang mengikut bidang masing-masing, maka kebenaran yang cuba diketengahkannya akan menjadi lebih jelas lagi.

"Sebagai contohnya, seorang mufti tentunya akan mengetengahkan tentang unsur-unsur kebenaran dalam puisinya berdasarkan hukum-hukum Islam. Begitu juga dengan tokoh-tokoh lain," katanya ketika ditemui selepas majlis itu berakhir.

Sebagai aktivis puisi dan ahli akademi beliau turut tidak terkecuali dalam menyerlahkan unsur-unsur didaktisme mengikut pemerhatiannya menerusi puisinya yang berjudul Resah Cincin yang sarat dengan mesej tersirat.

Prof. Rahman misalnya, menggunakan cincin yang dipakai di jari kanan dan kirinya pada majlis itu bagi menyampaikan mesej puisi tersebut yang secara amnya lebih banyak berkisar tentang dunia politik era tahun 1970-an hinggalah masa kini.

Fahaman sosialisAntara lain beliau menggambarkan bahawa pemakaian cincin di jari tangan sebelah kanan sedikit sebanyak menggambarkan tentang 'keselesaan' si pemakainya, berbanding jari tangan kiri yang lebih bersifat 'pembangkang'.

"Kalau pada tahun 1970-an dulu, elemen kiri dalam politik mungkin lebih menjurus kepada fahaman sosialis. Tetapi pada masa hari ini dalam suasana politik yang tidak menentu, apa-apa fahaman dan parti politik tidak menjadi halangan.

"Ramai orang semakin berani bersuara, boleh lompat parti dan sebagainya. Saya cuba menyampaikan mesej itu menerusi bait-bait terakhir puisi itu yang antara lain berbunyi, jari hantu pun tidak mengapa," jelasnya.

Sengsara dan Kintalo Dengan Telur Emas merupakan antara judul sajak deklamasian Prof. Rahman yang sarat dengan unsur sindiran serta pengajaran di mana ia cukup rapat dengan tema baca puisi pada malam tersebut.

Dr. Mohd. Asri yang mewakili tokoh agama turut tidak terkecuali mendeklamasikan sajaknya yang berjudul Aku Rela dan Yang Benar Tetap Benar di mana ia memperluaskan lagi peranan mufti dalam menyampaikan dakwah.

"Kita tidak mahulah orang kata 'orang agama' hanya terbatas pada agama sahaja. Sajak juga boleh dijadikan medium untuk berdakwah. Saya menulis sajak yang saya bacakan pada malam ini selepas dilantik menjadi mufti," katanya.

Malah, beliau memandang positif cadangan Prof. Rahman Shaari yang sebelum itu mahu mengangkat sastera terutamanya puisi supaya ia dapat diselitkan dalam khutbah-khutbah yang disampaikan ketika solat Jumaat.

Bagaimanapun, Dr. Mohd. Asri berkata, perkara itu agak sukar untuk direalisasikan kerana ada sajak memaparkan gaya bahasa yang sungguh puitis serta amat mendalam maksudnya di mana ia mungkin sukar difahami oleh para jemaah.

Meskipun tajuk asal yang dicadangkan oleh Prof. Rahman berjudul Menghadapi Kepalsuan tetapi majlis Baca Puisi Kuala Lumpur itu tetap berlangsung dalam suasana yang meriah dan penuh dengan kepelbagaian.

Perkara itu dapat dilihat menerusi puisi tradisional berjudul Burung Kenek-Kenek yang dideklamasikan oleh A. Rahman Amiruddin atau Farouk dalam gaya berlagu sambil diiringi alunan paluan gendang.

Penyanyi lagu-lagu alternatif dan novelis, Abot turut memvariasikan lagu gaya pembacaan puisi menerusi puisi Hati Hina karya Prof. Rahman Shaari dan Di Bawah Bintang Mengerdip (Datuk A. Samad Said) yang dilagukan.

Penyajak lain yang terbabit menjayakan majlis yang diacarakan oleh Mansor Abu Bakar itu termasuklah Datuk Dr. Hashim Yaacob, Raja Rajeswari Seetha Raman, Rahimidin Zahari, Rasdi Daud, Rogayah A. Hamid, Norain A. Rahman dan para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Rahman Putra, Sungai Buloh, Selangor.


ARKIB UTUSAN MALAYSIA

This entry was posted on Tuesday, August 19, 2008 at 12:01 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment