Blogger, Penulis-penulis Yang Gagal?  

Posted by minz_tondekan in

MEDIA blog pertama kali dipopularkan Blogger.com yang dimiliki oleh PyraLab sebelum ia diambil alih oleh Google.Com pada akhir tahun 2002.

Pelbagai pembaharuan dibuat oleh Google.Com terhadap media tersebut hingga banyak aplikasi yang bersifat sumber terbuka yang diperuntukkan kepada perkembangan para penulis blog tersebut.

Blog mempunyai fungsi yang pelbagai. Ia boleh sahaja sebuah catatan harian, media untuk memuatkan tulisan-tulisan ilmiah, wacana perdebatan, kempen politik, program-program media dan penulisan karya-karya sastera.

Banyak juga weblog yang memiliki kemudahan interaksi dengan para pengunjungnya yang membenarkan para pengunjungnya untuk meninggalkan pendapat daripada tulisan yang dimuatkan. Namun demikian ada juga yang yang bersifat tidak interaktif.

Blog sebagai indikasi kemajuan penulisan di Malaysia khususnya sedang melanda para pengguna Internet. Ruang maya tersebut menjadi medium alternatif untuk berkarya, berbahas dan sebagainya.

Namun, muncul pertanyaan adakah karya para blogger merupakan tulisan kelas kedua dan sekadar bersifat sampah? Atau ia hanya memuatkan tulisan yang sama sekali tidak bermutu.

Menurut penulis, Nisah Haron, karya-karya blog dan para blogger bukanlah penulis kelas kedua yang tulisan mereka gagal mendapat tempat di Beliau berkata, justeru blogger juga mampu menghasilkan karya yang baik dan mempunyai kekuatan tersendiri dan merupakan perkembangan positif terhadap kesusasteraan Malaysia hari ini.

Malah, penulisan blog berjaya ‘meruntuhkan’ hipotesis pengkritik sastera Perancis, Roland Barthes yang mengutara pandangan kematian pengarang pada sejak 1967.

Sejak itu wacana tentang kematian pengarang Barthes tersebut tidak pernah selesai diperdebatkan. Selain Michael Foucault, boleh jadi sudah ribuan orang mengkritik atau menerima hipotesis tersebut sama ada secara lisan mahupun tulisan.

Dalam The Death of the Author, Barthes mengemukakan, pengarang seharusnya menyerap ke dalam teks dan seterusnya menghilang begitu sahaja. Jadi, ketika pembaca menafsirkan teks, mereka tidak lagi menemukan jejak pengarang. Teks yang lahir menghalang jarak pandang pembaca ke pengarang.

Pembaca jua mempunyai kebebasan besar menafsir teks. Mereka berhak memberi makna apa pun tanpa perlu dibayangi pengarang. Kesan daripada kematian pengarang adalah kelahiran pembaca.

“Hipotesis Barthes tersebut dengan kewujudan blog pengarang. Interaksi dan perbincangan lanjut antara pengarang dan pembaca dapat berlangsung. Bagi pengarang, hal ini amat bermakna.

Ini disebabkan bukan mudah bagi pengarang mendapatkan maklum balas secara terus ataupun masa nyata daripada pembaca. Melalui blog juga, pengarang itu hidup dan pembaca dapat membaca sesuatu yang terdapat di sebalik sesebuah teks atau karya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Forum Astaka Minda, Penulis dan Blog: Trend Masa Kini yang berlangsung di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Panel lain forum tersebut ialah penulis blog, Jiwarasa dan Is dipengerusikan oleh pensyarah Universiti Putra Malaysia, Shamsuddin Othman.

Nisah berkata, blog bukan sahaja menjadi medium untuk interaktif karya-karya kreatif antara penulis dan pengarang, ia juga mampu menjadi laman untuk pemasaran karya dan promosi sastera.

Melalui blog, pengarang dapat memperincikan tentang karya terkini dan karya-karya yang mempunyai kewajaran untuk dibaca. Ini kerana sesetengah penerbit atau kedai buku tidak dapat membuat promosi berterusan untuk seorang penulis sahaja.

“Oleh itu blog sangat berguna untuk membolehkan pengarang mengambil sifat proaktif dengan membuat promosi buku-buku sendiri. Pengarang harus percaya bahawa buku-buku merupakan karya terbaik dan percaya bahawa dia ialah pengarang terbaik,” tambah beliau.

Di sisi lain, Nisah memperlihatkan, penulisan blog di Malaysia memperlihatkan perkembangan yang amat pesat meskipun ia pertama diperkenalkan sekitar 1997.

Tersohor

Penulisan blog mulai disertai oleh penulis-penulis tersohor tanah air. Mereka bukan hanya berkarya, mempromosi tetapi juga menganjurkan wacana maya tentang sastera tempatan atau antarabangsa dengan baik.

Selain itu, blog-blog berkenaan juga menjadi medium untuk membolehkan para pengunjung memasuki blog penulis-penulis tersohor lain termasuk pengarang terkenal dunia.

“Tidak adil jika kita menganggap karya-karya penulis blog tidak bermutu dan hanya sebuah pelarian kerana karya mereka gagal diterbitkan oleh media arus perdana.

“Kenyataannya hari ini, karya-karya blog cukup baik dan mereka berjaya mewujudkan khalayak pembaca mereka tersendiri dengan jumlah yang agak besar,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Nisah berkata, pengarang, syarikat penerbitan dan para teknokrat sastera tanah air perlu mempertingkatkan teknologi dan penggunaan blog bagi memperkayakan dunia kreatif.

Jika tidak, kelompangan tersebut mungkin diisi oleh pihak yang mahu menghancurkan bahasa Melayu dengan meleluasakan bahasa rojak, bahasa SMS dan menjadikan bahasa Melayu tidak lagi dihormati di ruang maya.

Sementara itu, Jiwarasa berkata, pengguna Internet yang kian meningkat setiap tahun di negara ini merupakan peluang yang sangat terbuka untuk memperkayakan sastera tanah air.

Tahun lalu menunjukkan lebih 13.5 juta orang pengguna Internet di Malaysia berbanding sekitar 11 juta orang pada tahun sebelumnya iaitu peningkatan 8.9 peratus. Dan, hingga Februari lalu, terdapat 108 juta weblog di seluruh dunia.

Jumlah pengguna yang besar tersebut dapat digunakan oleh para blogger untuk memperluaskan karya-karya sastera Melayu dan memperkuatkan strategi pemasaran tulisan mereka.

“Selain dapat memperkuatkan sastera Melayu, jumlah pengguna Internet yang besar tersebut dapat memperluaskan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa blog.

“Kini peratus bahasa blog ialah Jepun (37 peratus), Inggeris (33 peratus), Cina (lapan peratus), Itali (tiga peratus) dan Parsi (satu peratus) tapi bahasa Melayu terlalu kecil,” katanya.

Di samping itu, peratus bahasa Melayu untuk mengakses buku di Internet juga sangat kecil hingga memaksa pengguna terpaksa menggunakan bahasa Inggeris.

Seperti dijelaskan oleh Nisah dan Jiwarasa, penulisan karya dan penggunaan bahasa Melayu di blog mempunyai cabaran tersendiri terutama ketika masih wujud pandangan negatif bahawa mereka merupakan penulis kelas kedua.

Namun, kedua-duanya menegaskan, pandangan negatif tersebut justeru merupakan cabaran kepada para blogger.

Jika meminjam pendapat sejarawan Arnold Toynbee dalam tulisannya The New Europe: Some Essays in Reconstruction, ia merupakan ‘cabaran dan jawapan’ yang akan mengarah kepada perkembangan ilmiah sesebuah bangsa.

Ini blog menawarkan banyak manfaat. Jika mahu melihatnya secara objektif, ia adalah adalah dunia yang sama sekali baru, menarik dan menawarkan banyak peluang dalam pelbagai bidang termasuk kewangan serta ekonomi.


ARKIB UTUSAN MALAYSIA

This entry was posted on Sunday, August 10, 2008 at 12:01 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment