RTM Harus Angkat Karya Sastera  

Posted by minz_tondekan in

BIDANG kesusasteraan bukanlah setakat suatu medium untuk mengetengahkan bakat para penulis dalam bidang pengkaryaan puisi, gurindam, pantun, nazam, cerpen, novel dan buku semata-mata.

Sebaliknya, karya-karya sastera terutamanya yang dihasilkan oleh para pemikir, ahli akademik dan Sasterawan Negara mempunyai banyak nilai pemikiran serta semangat yang mampu untuk menjana jati diri masyarakat.

Sebab itu, adalah sesuatu yang amat merugikan apabila banyak khazanah sastera hasil nukilan para penulis tersohor di negara ini yang terperam begitu sahaja tanpa dikupas pengisiannya secara lebih meluas.

Sehubungan itu, semua pihak termasuklah stesen radio dan televisyen (TV) haruslah memainkan peranan demi mengembangkan lagi martabat seni bahasa Melayu dan nilai-nilai kemanusiaan yang banyak terkandung dalam karya-karya sastera tanah air.

Ini kerana, dua medium tersebut terutamanya stesen penyiaran milik kerajaan iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM) merupakan antara saluran yang berkesan dan sepatutnya menjalankan amanah serta tanggungjawab sosial tersebut.

Sayangnya, selepas 62 tahun RTM beroperasi tidak banyak, malah boleh dikatakan tiada langsung rancangan yang khusus untuk membincangkan karya- karya sastera diperuntukkan menerusi saluran TV sama ada di RTM1 ataupun RTM2.

Jika RTM boleh mewujudkan rancangan seperti Fenomena Seni di RTM1 yang khusus membincangkan masalah atau isu yang timbul dalam dunia hiburan tempatan, mengapa tidak dalam dunia kesusasteraan?

Adalah sesuatu yang amat merugikan apabila karya-karya Sasterawan Negara seperti Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang yang bukan sahaja dikagumi di negara ini tetapi turut diiktiraf hingga ke peringkat antarabangsa dibiarkan begitu sahaja tanpa dikupas pengisiannya.

Selain menyediakan banyak rancangan berbentuk hiburan, TV realiti, drama dan berita semasa, kini sudah sampailah masanya RTM menyediakan pula sebuah rancangan khusus bagi membincangkan karya-karya sastera di salah satu saluran TV tersebut.

Banyak pengisian yang boleh dimuatkan menerusi program seperti itu, misalnya dengan cara membincangkan sesebuah karya sastera seperti novel serta mencari hala tuju dan mesej positif yang boleh dikongsi oleh para penontonnya.

Mungkin pengisian dalam rancangan seumpama itu dapat dimeriahkan lagi dengan cara menjemput penulis terkenal, tokoh budaya, pakar bahasa dan pensyarah universiti bagi mengupas sesuatu karya sastera yang akan dibentangkan.

Sebenarnya, perkara itu sudah lama dinanti-nantikan oleh para peminat sastera serta para aktivisnya yang pada masa sama meluahkan rasa bimbang mereka terhadap seni tersebut yang semakin dilupakan oleh generasi muda sejak akhir-akhir ini.

Presiden Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia, Datuk Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) misalnya, kesal apabila seni sastera Melayu semakin terpinggir sejak kebelakangan ini gara-gara sikap masyarakat yang terlalu mengejar kepada kemajuan sains dan teknologi.

"Bagi saya, jati diri itu bermula dengan bahasa ibunda kita. Lihat sahaja bangsa lain seperti Jepun, Perancis dan Indonesia yang amat memelihara bahasa ibunda mereka. Ini kerana, sastera berkait rapat dengan bahasa.

"Tetapi sayangnya, idealisme kami untuk membangunkan pemikiran bangsa yang diterjemahkan melalui karya-karya sastera kini semakin tidak didengari. Ini suatu malapetaka," katanya ketika ditemui di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Mungkin, dengan adanya sekelumit rancangan khas di RTM1 atau RTM2 yang cuba mengangkat martabat bahasa dan kesusasteraan Melayu, maka mungkin sekurang-kurangnya ia akan melambatkan proses pengikisan jati diri generasi kita pada masa depan.


ARKIB UTUSAN MALAYSIA

This entry was posted on Thursday, August 21, 2008 at 12:01 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment