FILEM ANAK HALAL  

Posted by minz_tondekan in

Sinopsis

Hisham (Rosyam Nor) merupakan seorang penjenayah yang berada dalam keadaan terdesak dan menjadi buruan pihak polis. Dia telah cuba melarikan diri bersama seorang bayi. Tetapi disebabkan keadaan yang begitu terdesak Hisyam telah menyerahkan bayi tersebut kepada Mariam, iaitu seorang perempuan yang kurang siuman yang tinggal di lorong-lorong sempit dan kotor. Sebaik sahaja dia menyerahkan bayi itu, polis telah berjaya memberkasnya. Mariam yang hidup di lorong mati telah membesarkan bayi yang dipeliharanya yang diberi nama Inderaputera/Putera (Farid) dalam keadaan yang penuh kedaifan. Mereka tinggal di kawasan setinggan, berjiran dengan Bu Leha dan anak perempuannya, Johanna/Jo (Maya Karin) yang merupakan seorang gadis lasak.

Sejak daripada kecil lagi Putera dan Jo begitu rapat seperti pasangan adik berdik. Namun, dalam diam Jo sebenarnya menyukai Putera. Walaupun mereka hidup dalam keadaan yang serba kemiskinan tetapi mereka cukup bahagia. Malangnya, kebahagiaan Putra bersama ibunya berakhir apabila mereka dipisahkan oleh pihak berkuasa. Putera kemudiannya dibesarkan oleh Bu Leha yang membawa Putera dan Jo berpindah ke Kuala Lumpur dengan harapan hidup mereka akan menjadi lebih baik. Putera dan Jo membesar sebagai remaja jalanan bersama rakan-rakannya yang lain. Selepas itu, Putera mula bekerja di bengkel kereta, manakala, Jo dan ibunya berniaga buah-buahan di pasar Chow Kit demi mendapatkan sesuap nasi.

Putera telah jatuh hati kepada Atikah(Fasha Sandha) iaitu perempuan yang telah melanggarnya sewaktu motorsikalnya rosak di tepi jalan. Selepas kejadian itu Putera dan Atikah telah mula menjalinkan hubungan sehinggakan Jo yang selama ini begitu rapat dengan Putera berasa cemburu. Disebabkan hal itu, hubungan mereka semakin renggang sehinggalah timbul beberapa masalah yang melibatkan Putera dan rakan-rakannya yang lain.

Erzan(Adi Putera) dan Amira Atikah pula adalah antara sahabat rapat Putera dan Jo. Mereka telah terjebak dengan penggunaan najis dadah akibat tekanan perasaan dan desakan hidup. Amira Atikah yang ketagihan dadah melarikan diri dari rumah disebabkan tekanan hidup yang dialami akibat kurang mendapat perhatian daripada bapanya. Manakala, Erzan pula yang berada dalam keadaan terdesak untuk menyelesaikan masalahnya telah mengabdikan dirinya kepada konco-konco Hisham. Selain mengedar dan menagih, Erzan yang terpaksa menanggung beban hutang tinggalan ayahnya sentiasa menjadi buruan konco-konco Hisham. Akhirnya, Erzan mati ditembak sewaktu hendak melangsaikan segala hutangnya.

Selepas kejadian itu, Putera amat berang dengan Hisham dan konco-koconya yang menjadi punca kepada segala masalah dan kesusahan yang dialami oleh semua teman baiknya. Dia telah memberanikan diri untuk datang ke tempat persembunyian Hisham serta konco-konconya. Pada ketika itulah berlaku aksi pergaduhan dan adegan tembak-menembak yang mengakibatkan Hisham terkena tembakan. Sebelum Hisham menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia sempat memberitahu keadaan yang sebenarnya kepada Putera dan Putera berasa amat sedih kerana orang yang ditembaknya itu adalah ayah kandungnya sendiri.


Kritikan Filem ‘Anak Halal’

Pertama kali semasa melihat tajuk filem ini, penulis berasa begitu teruja dengan pemilihan tajuknya ‘Anak Halal’ yang begitu janggal kerana selama ini kita sering didengarkan dengan istilah anak haram sahaja iaitu anak luar nikah. Ditambah lagi dengan barisan pelakonnya yang yang terdiri daripada beberapa pelakon popular menambahkan lagi minat penulis untuk menonton sendiri filem ini.
Dalam hati, penulis dapat rasakan bahawa filem Anak Halal, buah tangan sutradara muda, Osman Ali ini mampu mengangkat kembali maruahnya yang pernah tercalar apabila filem pertamanya di layar lebar, Puaka Tebing Biru menjadi bahan belasahan media dan pengkritik. Filem lakonan Nasha Aziz, Umie Aida, Sharifah Amani itu dikatakan terlalu meleret-leret sehingga menimbulkan rasa bosan di kalangan mereka yang menontonnya.

Setelah menonton sendiri tayangan filem ‘Anak Halal’ ini barulah perasaan puas dan teruja itu dapat digambarkan sepenuhnya. Tidak dapat dinafikan, hasil kerja Osman untuk filem terbitan Tayangan Unggul Sdn. Bhd. ini teliti dan kemas.

Bermula dari tema sehinggalah pada jalan cerita serta pelakon yang membintangi filem itu, semuanya dilakukan dengan penuh hati-hati. Malah, banyak kesilapan masa lalu cuba diperbaikinya menerusi filem ini. Selama hampir dua jam menonton filem ini, tidak terasa masa berlalu. Jalan ceritanya cukup pantas, bersesuaian dengan genre iaitu sebagai sebuah filem separuh aksi dan drama. Menyebut mengenai filem aksi, diakui babak pertarungan dalam filem ini nampak hidup.

Adegan gaduh membabitkan kisah berkaitan manusia di lorong gelap dan terpinggir membabitkan Inderaputera dan konco Hisham antara babak menarik dalam filem ini. Farid sebagai Inderaputera menampakkan lagi kematangannya dalam bidang lakonan. Tidak keterlaluan andai dikatakan ini adalah filem terbaiknya setakat ini.

Selain Farid, filem ini turut menampilkan lakonan hebat Maya Karin, Fasha Sandha, Raja Farah, Rosyam Nor, Jehan Miskin, Adi Putra, Fizz Fairuz, Remy Ishak dan ramai pelakon muda berbakat. Setiap pelakon memberikan komitmen 100 peratus untuk menghidupkan watak mereka. Maya Karin, yang memegang peranan sebagai gadis tomboy bernama Jo amat berbeza dengan imejnya dalam filem lakonannya sebelum ini. Tanpa sebarang mekap tebal, hanya mengenakan jeans dan kemeja T serta aksi kasar dan selamba membuatkan Maya bukan seperti yang kita kenali.

Pujian juga wajar diberikan kepada Fasha Sandha yang memegang watak sebagai Amirah Atikah. Anak orang kaya yang terbabit dalam penyalahgunaan najis dadah. Mimik wajah serta penghayatannya nampak berkesan. Ini membuktikan Fasha sebenarnya mampu melangkah lebih jauh lagi asalkan mendapat skrip yang betul-betul mantap serta mendapat pengarah yang tahu menggunakan bakat yang dimiliki olehnya secara semaksimum mungkin. Begitu juga lakonan Raja Farah. Jika sebelum ini, kebolehannya hanya dilihat menerusi filem remaja dan cinta, namun Anak Halal menjadikan Raja Farah antara pelakon pelapis yang berjaya dicungkil Osman.

Memilih tema kepincangan hidup segelintir anak jalanan yang terpaksa berjuang meneruskan kehidupan di celah kota metropolitan Kuala Lumpur, Osman berjaya menterjemahkan situasi itu menerusi naskhah hebat ini. Dialognya yang bersahaja dan selamba menjadikan filem ini realistik dan memberikan impak berbeza.

Mungkin ada yang akan mempertikaikan sebahagian dialognya yang dianggap kasar, namun mengambil kira latar belakang Inderaputera sebagai insan yang menghuni rumah di lorong mati, perkara itu adalah normal dan memang terjadi di kalangan masyarakat kita hari ini. Inilah kelebihan Osman apabila menggunakan pengalamannya sebagai pengarah yang banyak mengarahkan filem bebas antaranya, Bukan Api dan Malaikat Di Jendela untuk menjadikan Anak Halal sebuah karya menarik daripadanya.

Aspek sinematografi dan set yang diperlihatkan dalam filem ini juga memberi impak baik. Pemilihan lokasi yang menggambarkan kehidupan daif warga kota juga bertepatan jalan cerita. Filem yang menelan belanja sebanyak ini RM1.5 juta ini cukup asam garamnya. Sepanjang diputarkan, penonton dibuai dengan perasaan suka, duka, geram, simpati dan lucu - semuanya adalah rencah kehidupan setiap insan yang hidup dimuka bumi ini.

Namun, di sebalik segala pujian dan kekuatan yang ada pada filem ini terdapat juga beberapa babak-babak yang kurang jelas dan mengelirukan penonton. Kelemahan-kelemahan ini dapat di lihat bermula semasa watak Putera dan Jo bersama-sama dengan Bonda(Mariam) keluar mencari botol kosong. Kelemahannya cukup jelas apabila Bonda yang sedang menunggu Putera dan Jo yang pergi mencari botol kosong, telah didatangi oleh beberapa orang peragut yang cuba untuk merampas duit yang berada di tangannya.

Kemudian berlaku pergelutan antara Bonda dan peragut tersebut sehinggalah pihak polis tiba dan terus sahaja menangkap kedua-duanya tanpa sebarang usul periksa siapa sebenarnya yang bersalah. Tiba-tiba sahaja babak itu habis seolah-olah tiada penyelesaian dan Bonda hilang begitu sahaja sehinggalah mereka bertemu kembali di pengakhiran cerita.

Selain itu, satu lagi babak yang menjengkelkan penonton ialah ketika motorsikal Putera tiba-tiba rosak dalam perjalanan mereka untuk pulang ke rumah. Semasa Putera dan Jo sedang berusaha membaiki motorsikal tersebut, tiba-tiba sahaja lalu sebuah kereta Sport merah yang jika dilihat secara teliti seolah-olah pemandunya sengaja untuk melanggar lopak air sehinggakan air lopak tersebut kena pada badan Putera. Kemudiannya, dalam masa yang singkat sahaja Atikah yang memohon maaf atas kejadian tersebut telah berkenalan dan terus rapat dengan Putera, seolah-olah mereka telah berkenalan bertahun-tahun lamanya.

Satu lagi perkara pelik yang dapat penulis kesan berlaku dalam filem ini ialah dalam babak yang menampilkan watak Aziz Satar sebagai seorang tua yang bekerja sebagai seorang penjahit kasut. Apa yang menjadi perkara ganjil dalam babak ini ialah watak tersebut masih lagi sedang sibuk menjahit kasut walaupun waktu pada ketika itu sudah hampir tengah malam. Adakah watak tersebut sengaja ditonjolkan semata-mata bertujuan untuk memperlihatkan situasi kemiskinan di kawasan itu? Penulis merasakan penonjolan watak tersebut dalam waktu yang kurang sesuai telah mencacatkan keadaan dan kelogikan cerita dalam filem ini.

Sebenarnya banyak lagi kelemahan dan unsur-unsur yang tidak logik dalam filem ini, tetapi kesemua babak tersebut dapat di ‘cover’ oleh perjalanan cerita yang menarik serta penghayatan watak para pelakon filem ini. Begitu juga dengan aksi-aksi pergaduhan yang nampak ‘real’ seolah-olah seperti pergaduhan sebenar. Inilah sebenarnya kelebihan yang ada pada filem ini sehinggakan ia dapat menutup sedikit sebanyak kelemahan-kalemahan yang wujud yang sememangnya sudah pasti berlaku dalam mana-mana filem.

Merujuk kepada teori-teori yang ada disebutkan sedikit pada bahagian awal, penulis merasakan bahawa filem ‘Anak Halal’ ini sebenarnya mengaplikasikan teori yang telah dikemukakan oleh Shafie Abu Bakar. Teori tersebut dikenali sebagai teori Takmilah. Teori Takmilah merupakan teori yang menekankan aspek kesempurnaan. Bermaksud bahawa sesuatu yang berlaku akan ada pengakhiran yang juga merupakan penyelesaian untuk menunjukkan sesuatu yang sempurna sifatnya.

Jika dilihat dalam cerita ‘Anak Halal’, teori ini nampaknya telah diterapkan apabila dalam penceritaan plotnya menunjukkan bahawa sesuatu masalah yang berlaku diakhiri dengan penyelesaian. Contohnya, watak jahat konco-konco Hisham pada awal cerita telah menerima pembalasan yang sewajarnya di akhir cerita apabila semua watak tersebut mati dibunuh. Begitu juga halnya yang berlaku kepada watak Hisham yang pada akhir cerita telah menemui semula anaknya yang telah lama ditinggalkan dan diserahkan kepada Mariam. Tetapi disebabkan kekejaman dan sifat tidak bertanggungjawab Hisham mengakibatkan dia telah ditembak oleh anak kandungnya yang dicari-cari selama ini.

Begitulah bentuk penyelesaian yang wujud di dalam filem ini yang nampaknya menunjukkan aspek kesempurnaan seperti yang ditekankan dalam Teori Takmilah yang dikemukakan oleh Shafie Abu Bakar. Kesempurnaan yang menjadi penyelesaian telah wujud di pengakhiran cerita sehinggakan segala persoalan yang timbul dapat diselesaikan dalam keadaan yang setimpal dan adil.

by: minz_tondekan

This entry was posted on Friday, August 1, 2008 at 4:05 PM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

1 comments

Anonymous  

betul ka crita ni sesuai ngn tajuknya?anda tngok dan fikir la sendiri...

August 5, 2008 at 10:47 PM

Post a Comment