Nilai Motivasi Dalam Puisi  

Posted by minz_tondekan in

Rakyat berkualiti adalah aset paling berharga bagi sesebuah negara. Oleh itu pembangunan insan menjadi agenda penting termasuk di Malaysia, Agenda ini diberi keutamaan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan. Rakyat berkualiti adalah rakyat yang berdaya maju yang sentiasa bersedia menambah ilmu, beriman, sanggup bekerja keras dan bersaing hingga ke peringkat global.

Pelbagai program motivasi dijalankan bagi membina rakyat berkualiti. Di samping mengamalkan pelbagai kaedah yang dipelajari dari luar, kita juga boleh membuka khazanah puisi tradisi dan moden yang boleh dijadikan pemangkin semangat dan pengubat jiwa.

Di antara ungkapan warisan yang dimaksudkan ialah:

Penakek pisau seraut

Ambil galah batang lintubong

Seludang ambil ke nyiru

Setitis jadikan laut

Sekepal jadikan gunung

Alam terkembang jadikan guru.

Ungkapan ini tidak seharusnya tinggal di dalam lipatan perbilangan adat. Ia harus dihayati dan dijadikan pegangan hidup seluruh masyarakat Melayu kerana di sebalik keindahan bahasa terdapat falsafah yang tinggi yang boleh dijadikan pedoman hidup dan motivasi di dalam mencapai kejayaan. Pemikiran terpenting yang dapat dirumuskan dari ungkapan ini ialah memotivasikan supaya terus memajukan diri dan menuntut ilmu.

Ungkapan ini berpusat kepada seruan untuk berikhtiar dan berusaha juga berdaya kreatif kerana ( yang setitis jadikan laut/ yang sekepal jadikan gunung). Ia menyemaikan nilai positif dan optimis bahawa manusia boleh melakukan sesuatu untuk mengubah keadaan hidupnya. Kejayaan dapat dicapai melalui usaha yang berterusan.

Pandangan yang terpancar dari ungkapan ini adalah juga selaras dengan ajaran Islam untuk berusaha, bersabar dan bertawakal. Al- Quran membawa ajaran bahawa manusia mempunyai daya ikhtiar. Semangat inilah yang menjadi faktor yang membawa kemajuan kepada umat Islam seperti yang diperjelaskan oleh Syed Naguib Al-Attas ketika membicarakan peranan Islam di dalam pembangunan tamadun Melayu. Tamadun Melayu dibangunkan oleh semangat yang dibawa oleh al- Quran yang menganggap manusia sebagai “mempunyai daya ikhtiar”.

“Setitis jadikan laut/sekepal jadikan gunung” adalah saranan untuk bekerja kuat mencari rezeki untuk kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Seruan ini dapat disandarkan kepada banyak ayat al-Quran, di antaranya, yang bermaksud: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat)” (Al-Jumu‘ah; 10).

Alam fizikal bukan sahaja merupakan tempat bagi insan meneruskan hidup tetapi juga merupakan ayat-ayat Tuhan yang boleh dibaca oleh mereka yang mempunyai akal. Manusia diminta mempelajari ilmu mengenai alam di sekelilingnya. Ayat-ayat al-Quran yang menggesa manusia mendapatkan “ilmu’ dengan cara memerhati, menyelidik, mentafsir adalah banyak sekali. Semua ini dirumuskan melalui ayat pertama yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW iaitu Iqra.

“Alam terbentang jadikan guru” menyatakan bahawa objek-objek alam fizikal adalah petanda-petanda yang memandu untuk memahami makna kejadian atau penciptaan serta keindahan. Mesej penting adalah agar manusia menuntut ilmu dan menyebarkan ilmu sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam. Islam menyatakan dengan jelas bahawa “menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas umat Islam baik lelaki ataupun wanita”(hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Sementara nilai motivasi juga terdapat di dalam puisi moden. Antaranya dua sajak yang dapat dijadikan contoh ialah Ditakutkan Pada Malam oleh A.Ghafar Ibrahim.

Kiranya takut pada malam

terasa apa benar ditakutkan

kerana ini bukan hakikat kehidupan

esok bila meninjau mentari

cahayanya tentu menghalau malam

akan tersenyum anak di daerahnya

seperti kita malam ialah perantau

tidak abadi. Cita di dada kekal dipinta

terus menyala. Tentu terang di muka

akan terbentang siang di jiwa garang

Sudah bertimbun sejarah mengisi buku dunia

Adakala manusia jatuh mereka belajar darinya

Dan tika bangun selamat mengingat bekas jatuh

Akan terpelihara dan singgah di pelabuhan

Demi pelabuhan. Sedar memercup sentiasa

Bakal sampai tujuan semula

Kita tegak di pencapaian cita

Jadi apa ditakutkan pada malam

Kerana esok tetap siang

Selagi dada membara

(Lukisan Zaman,1993 :78)

Di dalam sajak Ditakutkan Pada Malam, penyair mengatakan bahawa malam tidak semestinya menandakan kejatuhan oleh itu kita tidak seharusnya berasa takut pada malam. Dan kalau benar pun seseorang akan jatuh maka wajar diingat bahawa kejatuhan itu bukanlah bererti kegagalan untuk selamanya. Penyair menyebut tentang manusia yang pernah jatuh tetapi belajar untuk bangun dan menasihati supaya bermuhasabah dan merenungi perjalanan yang telah dilalui. Esok tetap siang dan siang adalah pertanda kepada harapan baru. Selagi ada harapan, manusia akan bersemangat untuk meneruskan kehidupan. Justeru itu penyair bertanya, “Apa ditakutkan pada malam / kerana esok tetap siang / selagi dada membara.”

Muhammad Haji Salleh menulis sajak, Tidurlah Anak berupa percakapan seorang ayah kepada anaknya. Dalam percakapan itu dia memberi pandangan tentang malam dan kaitannya dengan kehidupan manusia.

Keseluruhannya adalah pandangan yang positif dan memberangsangkan minda. Muhammad Haji Salleh tidak mengaitkan malam dengan unsur negatif. Baginya malam adalah penyempurnaan hari dan malam itu baik atau sebaik hari esok. Penyair menyifatkan malam sebagai sejuk dan sihat’ dan ia diperlukan untuk mengimbang cahaya dan bahang. Setiap yang dijadikan Allah adalah berpasang-pasangan dan saling lengkap melengkapi.

Puisi Tidurlah, Anak mengenai seorang anak diperingatkan atau diasuh bahawa waktu malam adalah juga baik seperti hari siang. Segalanya datang daripada Allah, oleh itu jangan bersikap prejudis atau buruk sangka. Setiap yang datang daripada Tuhan adalah baik dan ada hikmahnya. Segala sesuatu ciptaan Allah mempunyai rahmat dan sebab-sebab tertentu misalnya malam digilirkan dengan siang untuk menandakan perjalanan hari dan hitungan bulan.

Jelas dilihat bahawa puisi Melayu tradisi dan moden dapat dijadikan sumber motivasi untuk memberikan semangat dan memupuk nilai-nilai murni pada generasi muda.


ARKIB UTUSAN MALAYSIA: 27/07/2008

This entry was posted on Sunday, August 3, 2008 at 10:13 PM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment