Mengenang Nasib Bangsa Melalui Puisi  

Posted by minz_tondekan in

PUISI merupakan suatu medium sastera yang paling mudah untuk mengutarakan mesej tentang apa-apa juga perkara yang berlaku dalam masyarakat.

Ini kerana, gaya bahasanya yang puitis, tetapi adakalanya juga sarat dengan maksud tersirat serta gaya penyampaiannya yang pelbagai menjadikan sajak cukup popular.

Sama ada ia diketengahkan menerusi gaya pendeklamasian, gurindam dan lagu, puisi terbukti mampu memainkan peranannya dalam pembinaan sesebuah bangsa.

Sesuai dengan temanya, Malam Gema Puisi Warisan yang menjadi acara bulanan di Akademi Seni Budaya dan WarisanKebangsaan (Aswara) seakan- akan sinonim dengan hala tuju tersebut.

Menyedari kesedaran tentang kepentingan pemikiran seperti itu, boleh dikatakan semua pendeklamasi pada malam tersebut sepakat membawakan mesej yang sama.

Dalam keadaan politik dan ketuanan Melayu yang semakin terhakis sejak kebelakangan ini, seharusnya mesej-mesej seperti itu diambil kira buat renungan demi kebaikan bersama.

Bekas graduan teater dari Universiti Sains Malaysia (USM), Datin Shamsiah Mohamad, pada malam itu misalnya, jelas meluahkan rasa kebimbangannya atas perkembangan itu.

Kebimbangan beliau itu terserlah menerusi sajaknya yang berjudul Wirid Serumpun Sehati yang dideklamasikannya penuh dengan emosi yang menagih suatu keinsafan.

Antara bait-bait puisinya yang mampu menyentuh perasaan dan penghayatan para penonton pada malam itu berbunyi:

Takut benar kepada bayang-bayang

Sebut Melayu semangat melayang

Mengaku Melayu hati bergoyang

Asal usul tiada yang sayang

Bait itu seakan-akan menggambarkan tentang nasib yang melanda bangsa Melayu terutama di kalangan generasi muda hari ini yang berdepan dengan krisis identiti dan keyakinan.

Misalnya, soal penekanan kepada memartabatkan bahasa Melayu di negara ini dan juga perjuangan bangsa serta kelangsungannya supaya lebih berdaya saing dengan kaum-kaum yang lain.

Kerisauan tentang nasib bangsa yang semakin terhimpit kerana ‘putaran ganas kehidupan’ daripada segi sosio dan ekonomi pula diketengahkan oleh Siti Raihani Mohd. Saaid.

Menerusi puisinya dalam bentuk nazam berlagu berjudul Nazam Orang Kita, beliau menggambarkan kerisauannya itu hampir pada setiap bait nazam tersebut.

Dua rangkap bait nazam Siti Raihani ini antara gambaran yang cuba diserlahkannya untuk tatapan bersama:

Rumah pangsa ramai orang berhimpit-himpit

Majlis PBT angkut sampah berbukit-bukit

Bila dah sempit takut jadi sarang penyakit

Bila dah sesak anak-anak jadi mat rempit

Binalah bangsa agar besar dan dihormati

Jangan lupa dalam selimut gunting menanti

Anak kita berlumba-lumba ke universiti

Ramai juga yang berlumba-lumba ke pusat Serenti

Mat rempit dan gejala penagihan dadah merupakan perkara pokok yang sukar untuk dibendung kerana majoriti yang terbabit dalam permasalahan itu merupakan golongan Melayu.

Selain menampilkan gaya pendeklamasian puisi yang serius, acara yang diadakan di Anjung Beringin, Aswara itu turut memperlihatkan kepelbagaian gaya penyampaian para pesertanya.

Vokalis kumpulan pop rock, Redang iaitu Zalee tampil menerusi lagu-lagu puisinya yang agak radikal gaya penyampaiannya serta tonasinya yang tersendiri hingga mampu mencuri tumpuan.

Zalee menyanyikan lagu puisi, Ratip Sang Puteri dengan gaya penyampaian sebutan bait-bait puisinya yang cukup laju sekali bersama iringan petikan gitarnya.

Mungkin gaya penyampaian yang begitu ekstrem telah menyelindungkan sebutan bait-bait puisi itu daripada menusuk ke telinga para audiens di mana ia juga tentunya sarat dengan mesej-mesej tertentu.

Majlis itu tambah meriah apabila buat julung kalinya ia dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang baru, Dr. Muzahet Masruri.

Beliau tidak mengecewakan pelawaan Rektor Aswara, Datuk Omar Awang yang menjemputnya turut sama memeriahkan majlis sempena sambutan Hari Seniman Kebangsaan 2008 itu.

“Malam ini merupakan sejarah dalam hidup saya kerana ini kali pertama saya membaca puisi di atas pentas dengan disaksikan oleh orang ramai. Saya baca puisi ini pun atas permintaan Datuk Omar.

“Saya harap puisi yang akan saya bacakan ini sedikit sebanyak akan menyumbang ke arah mesej yang sama,” katanya sebelum membacakan sebuah puisi yang berjudul Melayu Itu Tanahku.

Pada majlis itu, Omar Awang turut tidak ketinggalan mendeklamasikan sebuah puisi berjudul Suluk Cinta yang menjadi perhatian ramai kerana gaya bahasanya yang cukup puitis.

Selain pendeklamator yang terdiri daripada tetamu kehormat, majlis itu turut dimeriahkan dengan bacaan puisi oleh Sabri Yunus, Raja Rajeswari dan Kumpulan Tunas Sastera dari Melaka.

ARKIB UTUSAN MALAYSIA

This entry was posted on Sunday, August 3, 2008 at 11:50 PM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment