Mutiara di Kaki Bukit  

Posted by minz_tondekan in

Wajahnya sentiasa manis, tutur kata dan tingkah lakunya juga memikat hati mata yang memandang. Ayunan langkah, bahasa tubuh, serta mimik muka gadis ayu itu sering menggangu malam-malam sepi Rauf. Sedangkan dia tidak pernah kenal wajah manis itu. Angannya hanya satu, ingin memiliki cinta sang gadis.

Rauf berusia lewat dua puluhan itu sangat kepingin cinta. Namun, dia gagal menemui cinta dari setiap wajah pilihan. Sungguh pun begitu, Rauf masih lagi terus berusaha. Lelaki berhati kental ini sangat periang, mesra, malah seraut wajah lelaki ini sebetulnya mengandungi seribu luka lama. Dia, anak yatim piatu tidak pernah kenal ibu, mahupun ayah. Hati lelakinya bagai sungai Gombak yang mengalir berat antara percaya dengan tidak dia meneruskan kehidupan.

Kehidupannya sebagai guru di salah sebuah sekolah di kampung terpencil di galas sebaik mungkin. Mana mustahil Rauf meninggalkan anak-anak murid kesayangan demi sebuah cinta wanita. Justeru Rauf lebih rela melepaskan Salwa pergi sedangkan jauh dilubuk hatinya Salwa adalah segala-galanya. Setelah empat tahun berlalu wajah Salwa semakin luput di mindanya. Namun sesekali wajah ayu itu sering juga menjelma menjamah mimpi. Oh Salwa...

Derap tapak kaki di luar menjadikan kelas yang sebentar tadi hingar bingar dengan karenah murid-murid tidak semena-mena menjadi sunyi sepi bagaikan baru dilanda tsunami. Masing-masing mula tekun membaca buku. Takut dan berdebar-debar bersarang seisi darjah enam Cempaka.

“Mengapa kamu tidak hadir kelas tambahan saya petang semalam?” bulat mata Rauf merenungi tubuh katek di hadapannya. Bagi Rauf, ketegasan perlu dalam memastikan anak muridnya lahir sebagai seorang yang berdisplin. Bukan mudah untuk mengawal hampir 30 orang murid dalam satu-satu masa. Pelbagai karenah dan perangai harus diperhatikan. “Saya kena jaga adik cikgu” lambat-lambat Karim buka mulut. Dia sangat menghormati lelaki yang berada di hadapannya kini. Lelaki ini juga pernah menyelamatkan keluarganya sedikit masa dahulu. Malah lelaki yang berhati malaikat ini juga menyelamatkan penduduk kampung lain. Karim kembali mengingati peristiwa itu..

“Mak, abah tolong..api!!!api!!! rumah kita terbakar!!tolong..!!!adik masih di dalam” teriak Karim gelisah. Suasana dingin subuh itu bertukar cemas dan kacau. Suara pekikan orang kampung menambah rencah di hati. Bagaimana dia mahu menyelamatkan adik-adiknya itu. Ke mana tubuh tua ayahnya? Ibu tuanya juga masih di dalam. “Api!!..Api!!Rumah terbakar..!!”laung orang ramai. Punca masih kabur tapi yang pasti adik kecil Karim seramai enam orang itu masih sendirian di kamar tidur. Berselimut dengan asap, api Karim cemas. Karim lemas.

Kata Lao Tzu, “Mereka yang bising adalah dungu. Mereka yang bijaksana senyap dan sunyi.” Tetapi salahkah dia mencari kebenaran dalam sejuta peristiwa depan mata? Sedang dalam senyap dia dikatakan bising, dia sebetulnya mencari sunyi dalam bising dan mencari bising dalam sunyi. Dalam banyak hal tentunya keadaan senyap sangat penting untuk kehidupan. Mencari siapa induk darah yang mengalir di sebalik tubuh ini. Namun subuh 19 Ogos itu dia terganggu bising.

Bagai mimpi Rauf terdengar riuh rendah suara orang menjerit, memekik macam suara gajah lapar fikirnya. Hari masih awal. Subuh masih berbaki. Dia menguap beberapa kali. Dengan malas Rauf bangun dan menghampiri tingkap. Cuba peka dengan keadaan. “Asap!!..rumah orang kampung terbakar”..sepantas cahaya dia membelah dingin subuh terus berlari cuba membantu, menyelamatkan keadaan. Jalan kecil yang kebanyakannya dipenuhi dengan batu-batu kecil itu menambahkan kepayahan Rauf lantaran dia hanya berkaki ayam. Sungguhpun begitu, dia tidak merasa apa-apa. Paling penting dia mesti menyelamatkan nyawa mereka yang belum tentu hidup itu.

Rauf masih lagi berduka lebih-lebih lagi kematian empat nyawa. Lagi-lagi kesal, sunyi kerana gagal menyelamatkan nyawa orang kampung, mujur adik Karim terselamat dari mushibah. Lewat beberapa tahun peristiwa itu berlaku namun kesan kesedihan masih bersarang. Sunyi semakin memenuhi ruang bilik anechoic, fikir Rauf Lodengraf telah menelan segala macam, menelan bunyi. Lodengraf (Low Density Granular Fill) yang dikatakan berupaya menyerap bunyi walaupun dari serat kaca biasa. Umumnya bahan asas Lodenggraf dibuat daripada kaca silika gunung berapi dan serat nilon. Aneh. Rauf dan tanpa bunyi.

“Maafkan saya cikgu, saya berjanji tidak akan lakukannya lagi..” bisik Karim perlahan. Antara dengar atau tidak Rauf meraup wajah. Sambil menghela nafas dari kerongkong yang ketat, Rauf kembali duduk mengadap Karim. Sedikit kesal dengan tindakannya sebentar tadi. Kini baru Rauf sedar bahawa tiada kemesraan dalam nada bicara lewat kebelakangan. Tercalit rasa sesal melihat ketakutan Karim sebentar tadi.

“Baiklah kamu boleh kembali ke meja kamu semula dan habiskan kerja sekolah kamu dan hantar sebelum tamat waktu saya.” Dengan pantas Karim mengangguk, menandakan bahawa dia sedia menerima arahan yang diberi.

Dia perlu, mesti, harus, wajar rasa bersalah setiap kali anak muridnya terkandas dalam setiap ujian. Siang malam dia memikirkan tentang kaedah yang berkesan dalam menyalurkan ilmu. Baginya seorang guru yang memilih untuk menjadi seorang guru bukan setakat mendidik malah guru perlu komited dengan tugas. Paling penting seorang guru sepertinya hendaklah sentiasa bersedia serta mahir menggunakan Alat Bantuan Mengajar (ABM) dan kemudahan ICT kerana fikirnya lagi anak murid sekarang lebih cekap dalam segenap aspek. Justeru jika tiada perancangan dan persediaan mengajar dari awal, mustahil seorang guru akan hilang momentum dalam profesion yang mereka ceburi.

Namun, memikirkan bahawa dia di bumi Susu, Rauf kembali sedar. Sedar bahawa di Kampung Susu ini tiada jaringan internet, tiada liputan rangkaian telefon, malah jauh sekali dengan kemudahan air atau elektrik. Semuanya serba gelap. Sunyi. Mereka tidak terdedah dengan segala bentuk kemudahan itu.

“Murid di sini tidak sukakan ilmu, sia-sia sahaja cikgu membuat kelas tambahan. Malah orang tua mereka lebih suka melihat anak-anak mereka ke hutan atau ke paya,” cikgu Zaedah tidak puas hati dengan rancangan Rauf. “Tapi kita mesti ubah tradisi mereka cikgu, supaya tidak lagi mewarisi kemiskinan. Ada ilmu yang menbantu. Maju” balas Rauf laju, geram dengan sikap sesetengah guru di sini yang tidak mahu bekerjasama lebih-lebih lagi Gikgu Zaedah.

“Cikgu masih baru di Kampung Susu ni, cikgu tidak tahu benar wajah sebenar kampung ni”, Rauf tercegat. “Cikgu Zaedah seperti memperkecilkan saya, cikgu seakan menolak rancangan untuk mengadakan kelas tambahan ini.” Sekilas wajahnya merona merah. Semakin lama semakin jelas. Cikgu Zaedah cuba menyembunyikan wajahnya itu, namun ada tenaga yang menariknya statik. Mata bertentangan. Ada rasa baru muncul.

“Saya tidak menolak, cikgu Rauf. Saya menyampaikan perkara yang saya fikir betul, tapi kalau cikgu fikir saya menolak atau memperkecilkan rancangan cikgu ini- saya minta maaflah.” Angin petang menampar tubuh Rauf sebaik sahaja cikgu Zabedah menyebut bait perkataan terakhir itu. Satu perasaan yang entah dari mana masuk. Menerjah ke kuntum-kuntum nadi, lalu bergerak ke saraf, menebak ke jiwa dan perlahan-lahan memantulkan satu garis bunyi di minda Rauf sambil dia mengingati sesuatu- Allah adalah Tuhan yang menciptakan segala yang ada di dunia ini. Allah menjelaskan dalam surah Al- Hujurat, ayat 13 bahawa, “Wahai manusia sesungguhnya kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa serta berpuak-puak supaya kamu berkenal-kenalan dengan baik. Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah adalah yang paling bertakwa dalam kalangan kamu”. Rauf tersenyum kemudiannya.

Langit petang semakin malap. Udara semakin dingin dan pawana berlagu deras. Guruh berteriak menandakan permulaan hujan yang akan memenuhi bumi Sungai Susu. Pawana masih buas berlagu. Kedinginan ini sesungguhnya tidak menghalang Rauf untuk bermunaqasyah tentang kehidupan. Bosan dengan lautan manusia, Rauf tercampak ke bumi Susu ini, sebelumnya dia sering bergerak, berinteraksi, dan befikir bagi memuaskan rasa dan tanggungjawab.
Malam-malam Rauf sebelum di bumi Susu dipenuhi dengan sekapal manusia yang aliran mindanya dikawal oleh fahaman Aristippus, baginya- Kebaikan tertinggi adalah keseronokan hidup, dan kejahatan paling besar adalah kesakitan. Rasionalnya Rauf kelihatan begitu tenang, penuh dedikasi, rajin, dan bersemangat juang yang tinggi dalam memastikan setiap anak didik punya wang, punya masa depan, malah punya ruang untuk maju kelak.
Ketika malam..dia bersama sendu berlagu perlahan mengenang masa sudah. Selemah-lemah iman Rauf rasakan ketika malam memberi salam. Keinsafan bermukim teguh. Dia harus memenuhi tanggungjawab sebagai pendidik lau mengubah tradisi keluarga angkatnya. Biar pun kini dia seakan terbuang, jauh dari ummi, walid, dan juga Salwa yang pulang kepada pencipta menerusi Eutanasia. Salwa menderita. Pertengkaran itu, kemalangan itu, dan pendarahan itu. Dia menjadi pembunuh atas permintaan Salwa sendiri. Dia membenarkan doktor memberhentikan prosedur perubatan, memberhentikan respitator. Rauf membiarkan jantung Salwa terhenti.

Hidup. Setiap manusia pasti akan mati. Suatu kehidupan pasti disusuli mati. Sunnatullah. Rauf merasakan bebanan emosi yang gagal ditanggung. Rauf menoleh ke luar tingkap. Hujan masih turun masih lebat seperti tadi. Titisan hujan masih gagah menghempas bumi Susu. Menjadikan malam semakin dingin , Rauf berkira-kira, mungkinkah malam ini akan terus hujan seiring dengan hadirnya subuh dan fikir Rauf lagi dia mahu mengubah tangapan cikgu Zabedah dan Karim serta semua orang. Ilmu penting sebagai tembok kecemerlangan, dan ilmu perlu disampaikan walaubagaimana pun caranya. Lagi-lagi Rauf tersenyum, Salwa pun senyum. Cikgu Zabedah turut tersenyum.


by: Ina_Azlina

This entry was posted on Tuesday, August 5, 2008 at 1:07 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

4 comments

Anonymous  

bagus la cerpen ni..mesti penulisnya berbakat besar..semoga dia sakses selalu,dapat menghasilkan karya yang menarik lagi

August 5, 2008 at 2:24 AM
Anonymous  

erm...boleh tahan! tingkatkan lagi usaha,teruskan asah bakat yang terpendam tu!k.semoga berjaya..

August 5, 2008 at 10:30 PM
Anonymous  

kepada ina_azlina! ble tak buat cerpen bertemakan kemerdekaan? xlama lg nk sambut 31ogos!try k..

August 5, 2008 at 10:50 PM

cerpen yang menarik, penuh dengan falsafah dan cerita...tapi terdapat kelemahan ketara dari segi tatabahasa dan penggunaan istilah perkataan...apapun, semoga terus berusaha untuk menghasilkan karya yang lebih bermutu!!!

September 8, 2008 at 11:48 PM

Post a Comment