Sekeping Kertas Putih  

Posted by minz_tondekan in

Hari itu aku duduk di bawah jambatan dekat dengan hujung kampungku. Di bawah jambatan itulah aku dengan kawan-kawan selalu bermain, berjenaka, serta berangan-angan tentang masa depan kami kelak. Di bawah jambatan itulah juga kami sering bersembunyi selepas mencuri buah mangga dekat kebun Pak Samad. Semua itu bagaikan semalam baru berlalu. Kalau dikira-kira sudah hampir 9 tahun perkara itu berlalu dan kini semua itu seperti sudah menjadi sejarah seperti mana gugurnya dedaun yang dibawa aliran sungai hingga ke hilir seterusnya hanyut ke lautan yang luas.

Hari ini keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan. Jantungku seakan-akan terhenti apabila membuka slip keputusan peperiksaanku. Jangankan nak dapat semua ‘A’, malah satu A pun aku tak dapat malah kertas Sejarah dan matematikku gagal manakala 4 subjek lain hanya setakat lulus. Cuma kertas Kesusasteraan Melayu dan Pendidikan Islam saja yang dapat 3B. Kalau ikutklan hati, mahu saja aku menangis di depan semua orang, tapi kerana keegoan seorang lelaki aku pendamkan saja rasa sedih dan kecewaku itu.

Di bawah jambatan itulah aku hamburkan segala kekecewaanku. Air jernih yang menitis daripada kelopak mataku sengaja aku biarkan. Biarlah aku hanyut bersama kesedihanku seperti mana hanyutnya segala “kedegilan” yang menimpa Aceh pada 26 Disember 2004 dek angkara Tsunami. Seingat aku, inilah kali pertama aku menitiskan air mata sejak kematian ayahku dua tahun yang lepas. Pada masa itu, aku telah berjanji di depan jenazah ayahku untuk mengubah kehidupan kami sekeluarga.

Namun, aku berasa seperti telah mengkhianati sumpah dan janjiku kerana aku gagal mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam pelajaran. Aku masih teringat kata-kata Cikgu Balqis kepada diriku beberapa waktu dulu,
“Apa nak jadi dengan kamu ni Halim, selalu je tidur kat dalam kelas, kamu tak kesian ke dengan mak dan ayah kamu mencari rezeki untuk menyekolahkan kamu? Kamu tahu tak, dengan ilmu pengetahuan sajalah yang dapat mengubah nasib kamu sekeluarga”.
Kata-kata Cikgu balqis itu sangat menyakitkan telingaku namun kerana terlalu mengantuk aku tertidur semasa cikgu Balqis sedang meleteriku.

Sebenarnya bukan niatku untuk tidur di dalam kelas, tapi aku terpaksa bekerja sebaik sahaja pulang dari sekolah. Kalau diikutkan, hampir semua kerja dalam kampung telah aku buat, kecualilah mencuri kerana aku masih waras dan bukannya seorang yang terlalu terdesak untuk mengambl jalan mudah dalam mencari sesuap nasi. Bagiku, biarlah kami sekeluarga terpaksa makan ubi kayu setiap hari asalkan makanan itu datang daripada hasil yang halal.

Sedang aku asyik mengelamun mengenangkan nasib yang tak sudah, hembusan angin yang lembut menyapa pipiku. Kemudian, kulihat angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa itu menerbangkan sekeping kertas putih yang datangnya entah dari mana-mana. Kuambil kertas putih itu dan kulihat kertas putih itu masih dalam keadaan yang bersih sebagaimana bersihnya hati seorang bayi yang baru mengenal dunia.

Entah mengapa kertas putih itu tiba-tiba mencetuskan ilham untuk aku mencoret bait-bait kata yang indah, seindah embun pagi yang memuput daun yang menghijau di pagi hari. Kertas yang asalnya kosong itu telah kutulis dengan sebuah puisi yang mana kuilhamkan daripada hatiku yang remuk redam mengenangkan nasibku yang malang agaknya.
Namun aku percaya Allah itu maha mengetahui dengan segala yang berlaku. Dugaan dan cabaran itu sebenarnya ingin menguji sejauh mana manusia itu beriman dengan Allah yang maha Khalik . Hatta orang yang kaya dan berpangkat turut diuji dalam bentuk harta dan amanah . Semua ini tidak lain hanya untuk menguji sejauh mana makhluk yang bernama manusia itu mensyukuri nikmat dan kurnia yang diberikan oleh penciptaNya.
Sebenarnya, aku pun tidak pasti bagaimana tanganku boleh cekap menulis bait-bait kata yang indah bak malaikat yang tidak pernah lupa dan lalai mencatat setiap amalan anak Adam sama ada baik dan buruk. Maha suci Allah yang menciptakan makhluknya dengan sebaik-baik kejadian.

Kini, sekeping kertas yang tadinya putih tanpa noda telah kupenuhi dengan dakwat pen yang mencatatkan sebuah puisi yang indah menurut firasatku. Benarlah kata arwah ayah padaku suatu hari dulu.
“Halim, kamu tau tak kain pelikat ini bermula dengan sekeping kain putih?” Kata ayah sambil mengunjukkan aku sehelai kain pelikat.
“Betulkah ayah? Halim ingat kain itu memang diciptakan begitu”. Dahiku berkerut sambil bertanya kepada ayah. Pada masa itu aku baru berusia awal 8 tahun dan aku tak mengerti apa yang ayah katakan.

Ayah memeluk dan membelai rambutku seraya tersenyum.
“Kalau Halim nak tau, begitulah umpamanya kita manusia, nak. Kita lahir ke dunia ini dalam keadaan yang luhur dan suci. Pengaruh dunialah yang mencorakkan kehidupan dan peribadi kita seperti mana kain putih yang kemudiannya dicorakkan dengan pelbagai warna dan corak lalu terhasillah kain pelikat ini”. Ayah memberitahuku seperti seorang tok guru menyampaikan pelajaran kepada anak muridnya.

“Oooohh…” Aku sebenarnya tak faham sangat apa yang ayah cakap.
“Dahlah, jom kita pergi surau. Nanti lambat pulak kita pergi surau. Azan dah berkumandang tu”. Ayah memimpin tanganku lalu kami bergegas ke surau.
Lamunanku bersepai apabila aku terdengar lantai-lantai jambatan dipijak oleh beberapa orang. Dan jantungku tiba-tiba berdegup kencang apabila terlihat salah seorang daripada mereka merupakan gadis pujaanku.

“Ika…”, mendengar nama itu sudah mampu membuat hatiku berbunga namun bertembung dengan seorang gadis bernama Syafika dalam keadaanku sekarang ibarat duri yang berbisa menusuk kalbuku.

Aku pernah berangan-angan untuk menjadikan gadis itu permaisuri hatiku namun apabila mengenangkan diriku yang serba kekurangan, Aku juga pernah bercita-cita untuk meluahkan rasa hatiku padanya setelah tamat SPM namun aku tak mempunyai kekuatan untuk meluahkannya. Kini, angan dan cita-citaku itu kusimpan jauh ke dasar hatiku kerana aku sememangnya tak layak untuk bertakhta di hati seorang bidadari yang bernama Syafika.

Biarlah aku buktikan kepada ibu dan arwah ayahku terlebiih dahulu bahawa aku mampu mengubah nasib kami sekeluarga sebelum aku buktikan ketulusan hatiku kepada Ika. Aku terpana apabila tiba-tiba ika menoleh ke arahku. Aku makin hilang arah apabila ika semakin menghampiriku dan aku dapat rasakan seluruh darahku seakan membeku apabila gadis pujaanku berada di hadapan mataku.

“Assalamualaikum…”, ucapan salam daripada Ika seakan-akan menyedarkan aku dari tidur yang panjang.
“Errr…Waalaikumsalam”, hanya ucapan itu yang mampu aku ujarkan sambil tangan kananku kemas memegang kertas yang telah kukarang tadi.
“Macam mana keputusan peperiksaan awak, Lim? Mesti awak lulus dengan cemerlang kan?” Ika menyapaku seraya melihat kertas yang telah kukarang tadi.
Aku dapat merasakan seperti satu tamparan yang halus tetapi penuh dengan racun berbisa hinggap ke pipi kiriku. Bisanya seperti menjalar ke seluruh urat saraf dan nadi-nadiku. Aku hanya tersenyum kelat sebagai membalas pertanyaan Ika tadi.
“Pandai awak mengarang puisi, boleh saya tengok?” Wajah manis itu seakan mencairkan keegoan seorang manusia bernama lelaki.

Aku mengunjukkan lembaran puisi yang telah kukarang tadi kepada Syafika dan aku dapat merasakan semua masalah aku telah hilang bak embun yang menghilang disinari mentari pagi apabila ika terenyum dan memuji hasil karyaku.
“Baik awak hantar karya awak Lim, mana tau boleh menang peraduan sayembara puisi?” Gadis itu tidak henti-henti memberi aku dorongan dan galakan.
“Tapi…Boleh ke saya hidup hanya dengan puisi?” Aku sendiri tidak yakin dengan soalan yang sedang aku ajukan.
“Lim..rezeki Allah itu ada di mana-mana, tidak kira lautan yang luas, di padang pasir yang gersang, ataupun di lurah yang paling dalam, rezeki Allah itu tetap akan sampai kepada para hambanya selagii mana manusia itu berpegang pada tali Allah. Tapi ingat, yang bulat itu tidak akan bergolek dan yang pipih itu tidak akan datang melayang. Jadi, terokailah nikmat dan hidayah Allah itu, nescaya awak akan mendapat petunjuk”.
Seraya itu, Ika terus pergi meninggalkan aku. Maka, tinggallah aku bersama sekeping kertas coretanku. Aku mula berfikir tentang apa yang ika cakap sebentar tadi.
“Bodoh betul lah aku ni, apasal pulak aku tanya soalan macam tu kat Ika tadi? Nampak sangatlah aku ni cetek ilmu”. Aku memarahi diriku sendiri kerana bertanyakan soalan yang aku anggap soalan bodoh.

Namun begitu, apabila difikirkan semula, ada betulnya juga apa yang ika cakap.
“Ya, aku bukan seorang yang gagal, aku boleh mengubah nasib keluargaku walau bukan dengan pendidikan yang tinggi. Rezeki Allah itu ada di mana-mana, kata-kata ika padaku sebentar tadi kujadikan azimat sebagai memulakan langkahku ke arah menuju kegemilangan.

Seperti yang aku jangkakan, perjalanan untuk menjadi seorang penulis memerlukan pengorbanan dan tahap kesabaran yang tinggi. Ditambah pula dengan keadaan keluargaku yang serba kekurangan. Aku terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan sampingan sementara menunggu hasil karyaku diterbitkan. Semua itu aku lakukan untuk menyara Ibu dan adik beradikku yang lain.

Setelah hampir sepuluh tahun bergiat dalam bidang penulisan, akhirnya segala kesabaran dan pengorbananku berbaloi apabila hasil karyaku mula diiktiraf dan banyak memenagi pelbagai hadiah dan penghargaan. Alhamdulillah, kini aku boleh menghadap pusara ayahku dengan perasaan bangga kerana akhirnya aku dapat menunaikan janjiku kepada arwah ayah untuk mengubah nasib kami sekeluarga.

Hari ini merupakan hari pelancaran antologi puisiku yang bertajuk “Sekeping Kertas Putih” yang mana tajuk ini aku ambil bersempena dengan sekeping kertas putih yang membawa aku untuk menghasilkan puisi pertamaku. Namun, aku percaya semua itu datangnya daripada Allah S.W.T .

Sehingga kini, terdapat satu persoalan yang masih membebani fikiranku. Adakah Syafika masih marah ataupun bencikah ika pada aku? Persoalan itu semakin lama kurasakan semakin mengganggu jiwaku. Sedang aku mengelamun, tiba-tiba ekor mataku melihat satu wajah yang telah lama kurindukan selama bertahun-tahun. Apabila aku menoleh semula, aku hanya melihat himpunan orang ramai yang sedang lalu lalang di sekitar majlis pelancaran bukuku.

Aku tersenyum sendiri.
“Nampaknya aku dah gila bayang kat ika kot?” Gumamku sendirian.
Kali terakhir aku mendengar khabar tentang ika ialah semasa dia hendak melanjutkan pelajaran ke universiti, malah keluarganya juga turut berhijrah ke Kuala Lumpur. Kalau aku tak silap, ika melanjutkan pelajarannya kat Universiti Malaya iaitu sebuah universiti yang terletak di Kuala Lumpur.

Belum sempat aku mengelamun lebih jauh, beberapa orang penggemar karyaku datang untuk meminta autograf. Aku melayan mereka seadanya dan mereka sempat meminta untuk mengambil gambar bersamaku. Nak jadikan kenangan kata mereka.
Sedang aku tekun melayani penggemarku, tiba-tiba aku dapat menagkap satu ungkapan keramat yang menjadi azimatku sejak peristiwa di bawah jambatan sepuluh tahun dahulu. Kertas putih itulah yang menjadi saksi peristiwa itu.

“Kan saya dah cakap, awak boleh hidup hanya dengan puisi!” Aku tersenyum sendirian mendengar kata-kata itu dan kini aku mendapat jawapan pada persoalan yang menghantui hidupku selama ini…


by: aeman_yosi

This entry was posted on Saturday, August 9, 2008 at 12:01 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

3 comments

Anonymous  

hebat..sangat hebat..
cerpen nih membuatkan hati saya semakin bersemangat untuk menghasilkan seberapa banyak puisi yang termampu..
thanz penulis cerpen...!!
thanz..!!!

GERHANA BULAN..

August 27, 2008 at 12:36 PM

leman.... ko yang tulis ke ni? bestnyeee... tahniah....

September 13, 2008 at 11:27 AM

terima kasih kerana memberi komen membina...teruskan usaha untuk menghasilkan karya yang lebih bermutu...

September 14, 2008 at 1:24 AM

Post a Comment