Penulis muda perlu berusaha asah bakat  

Posted by minz_tondekan in

PAPAR Generasi muda yang berminat menjadi penulis terkenal perlu berusaha mengasah bakat mereka termasuk menyertai lebih banyak seminar atau bengkel berkaitan penulisan.Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, konsep asuh dan asah seperti itu mampu membawa penulis-penulis muda berjaya dalam bidang penulisan.

''Salah satu caranya ialah dengan membaca karya-karya penulis negeri ini. Karya yang bermutu pasti akan membantu mengembangkan kerjaya sebagai pengarang," katanya ketika merasmi majlis penutup Bengkel Penulisan Kreatif - Cerpen dan Puisi di Ujana Wawasan, di sini semalam.

Bengkel selama tiga hari itu dianjurkan oleh Badan Bahasa dan Sastera Sabah dengan kerjasama DBP Cawangan Papar. Seramai 16 penulis muda yang terdiri daripada pelajar menyertai bengkel berkenaan.

Sementara itu, Pengarah DBP Cawangan Sabah, Zubaidi Abas berkata, pihak DBP akan sentiasa membantu menggilap potensi generasi muda yang berminat menjadi pengarang.

''Kita akan terus menggilap potensi itu menerusi bimbingan seperti mengadakan bengkel dan menyediakan ruang untuk mereka menghantar karya untuk diterbitkan," ujarnya.

Beliau menambah, pihaknya juga bersedia menerbitkan hasil karya peserta bengkel itu sekiranya karya tersebut memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan.

Beliau memberitahu, ketika ini, DBP Cawangan Sabah telah menerbitkan satu lagi majalah iaitu Majalah Karya bagi memberi ruang kepada penulis menghasilkan karya.

Katanya, seperti Majalah Wadah dan Jendela, majalah baru itu juga diterbitkan tiga bulan sekali.

"Adalah diharapkan ruang dan peluang ini akan dipergunakan dengan sebaik-baiknya," ujarnya lagi.

Sumber: Utusan Malaysia

This entry was posted on Monday, September 1, 2008 at 12:01 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment