S. Othman dan sastera Islam  

Posted by minz_tondekan in

PANDANGAN S. Othman Kelantan, Sasterawan Negara kesembilan terhadap apa yang dinamakan kesusasteraan Islam dapat disimpulkan menerusi buku Allahyarham, Arah Pemikiran Sastera Malaysia. Salah satu sumbangan yang melayakkan allahyarham menerima Anugerah Sasterawan Negara pada tahun 2003 ialah pembabitan di dalam fenomena sastera Islam. Ini disebut di dalam Laporan Panel Anugerah Sastera Negara 2003 ketika membincangkan karyanya Ruang Perjalanan (1989). Laporan menyebut, “Ruang Perjalanan muncul ketika khalayak sastera sedang membahaskan mengenai sastera Islam sebagai satu genre dalam karya sastera. Ruang Perjalanan boleh digolongkan ke dalam genre sastera Islam.”

Dewan Sastera Mac 2004 ikut memuatkan artikel Che Abdullah Che Ya berjudul Satu Perjalanan Kritis S. Othman Kelantan yang antara lain bertujuan mengangkat sumbangan S. Othman di dalam sastera Islam terutama menerusi buku Arah Pemikiran Sastera Malaysia.

Memperakukan

Secara ringkas S. Othman Kelantan memperakukan yang dinamakan kesusasteraan Islam itu pada allahyarham antara lain ialah karya-karya, terutama dalam bentuk kreatif, yang menunjukkan kemurnian akhlak, moral, merangsangkan manusia untuk berbuat baik, bersyukur kepada nikmat Tuhan dan menyedari kebesaran-Nya memberi kesan yang positif kepada manusia dan menjelaskan sesuatu yang konstruktif. Karya itu dibina dalam bentuk struktur yang baik dan dalam bahasa yang kreatif dan imaginatif. Keperluan estetik diperlukan dalam kombinasi antara bentuk dan isi.

Di dalam bahagian pertama buku itu, S. Othman antara lain menyentuh kemasukan Islam di Malaysia, perkembangan fikiran melalui kitab-kitab, kebangkitan fahaman kaum muda, kebangkitan ulama-ulama Kelantan dan Patani dan penyebaran Islam menerusi media massa.

Adalah signifikan untuk dinyatakan, allahyarham menerima hujah Syed Naquib al Attas bahawa kedatangan Islam telah mengangkat ketinggian bahasa Melayu. Syed Muhammad Naguib dalam bukunya Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, menyarankan Hamzah Fansuri sebagai tokoh pemodenan kesusasteraan Melayu. Sasterawan Negara ini menyetujui penerokaan alam falsafah, tasawuf dan kesufian di dalam karya-

karya klasik khususnya pada karya Hamzah Fansuri dan Tok Kenali menjadi ukur tara awal apakah yang dimaksudkan dengan sastera moden. Malah bagi beliau keutuhan dan pembangunan bahasa Melayu bergerak sejajar dengan penggunaan tulisan jawi dan kelahiran karya sastera Islam.

S. Othman di dalam bahagian ini juga menggariskan dengan terang apakah yang beliau maksudkan dengan kebudayaan, yang jelas sekali ikut disandarkan kepada ajaran Islam. Untuk melihat sesuatu yang akan disebut dengan nama kebudayaan, haruslah diasaskan kepada tiga perkara: iaitu dilandaskan kepada muslahat al mursalah, atas kepentingan umum. Seterusnya, segala usaha pengkaryaan dilandaskan kepada tujuan seni, yakni zarif. Dan terakhir, segala usaha itu dilandaskan kepada akibat, iaitu fikiran untuk apa sesuatu usaha itu dijalankan.

Bertitik tolak dari pandangan-pandangan yang jelas ini, S. Othman mengemukakan konsep sastera Islam yang menurutnya tidak dapat tidak bermula atau bersumberkan dari al-Quran dan Hadis. S. Othman juga beranggapan yang karya sastera Islam dapat dilahirkan dengan berkesan oleh penulis-penulis dengan kefahaman Islam yang mendalam.

Sasterawan Negara ini turut meletakkan beberapa ciri sastera Islam iaitu antara lain memancarkan ilmu pengetahuan. Pengarang juga menurut S. Othman mesti memancarkan sifat mukalaf, iaitu sikap bertanggungjawab atas semua tugas dan membina semangat untuk berbakti terhadap agama, bangsa dan tanahair.

Selain dari itu satu lagi gagasan S. Othman iaitu mengenai kritikan Melayu-Islam wajar disentuh di sini, ia adalah satu cubaan S. Othman meletakkan asas keislaman kepada genre kritikan di dalam sastera tanah air. S. Othman mengemukakan kritikan Melayu-Islam ini menerusi dua eseinya di Dewan Sastera iaitu Kritikan dari Perspektif Melayu dan Islam (Mac 1989) dan Masalah Kritikan Kita (Novmber 1991).

Berdasarkan dua esei ini dikesani sekurang-kurangnya enam prinsip kritikan Melayu- Islam iaitu, teguran yang menyedarkan, beri pengetahuan yang bermanfaat, berhujah dengan pengetahuan yang lebih baik, mendatangkan pemikiran atau membolehkan berfikir, menggambarkan kebijaksanaan, sama ada individu yang menyampaikannya atau matlamat yang dituju iaitu dari kaedah atau cara pendekatan yang dipilih dan kritikan harus memancarkan peribadi insaniah yang berfikir dan tunduk kepada kebenaran hakiki.

S Othman turut menegaskan bahawa kritikan Melayu-Islam ini adalah bertujuan murni untuk membina martabat manusia sebagai makhluk bersopan, sebagai makhluk berbudaya dan sebagai makhluk bermasyarakat.

Adalah jelas S. Othman ikut melibatkan diri di dalam fenomena sastera Islam di Malaysia melalui pengemukaan gagasan pemikiran dan penghasilan karya kreatif. Sumbangan Allahyarham yang meninggal dunia pada 31 Julai lalu serba sedikit ikut merancakkan kemeriahan dunia sastera Islam.

Sumber: Utusan Malaysia

This entry was posted on Wednesday, September 3, 2008 at 12:01 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment