Kekayaan karya mesti dipertingkat  

Posted by minz_tondekan in

MODENISME sering menganggap bahasa sebagai sebuah faham rasionalisme yang mengandungi makna tertentu, sesuai dengan kosa kata dan peraturan gramatik yang digunakannya.

Kekuatan juga terletak pada rasional untuk memahami dunia dan pemahaman tersebut memerlukan bahasa yang baik, kuat dan terstruktur dengan kemas.

Pandangan tentang bahasa itu menunjukkan ada dua hal yang diyakini dalam modenisme. Pertama, ia percaya bahawa bahasa dapat menjadi medium kepada struktur makna. Kedua, bahasa sebagai alat komunikasi dengan makna yang rasional.

Bagaimanapun pandangan modenisme tentang simbol, bahasa dan makna, dikritik oleh salah seorang pemikir pascastrukturalisme Perancis, Jacques Derrida.

Beliau antara lain berpendapat bahawa kepercayaan moden terhadap hubungan simbol, bahasa dan makna didasarkan pada apa yang disebutnya sebagai metafizik kehadiran (methaphisic of presence).

Terhadap pandangan ini, Derrida menyatakan bahawa apa yang disebut metafizik kehadiran dalam berbahasa tidak mungkin wujud. Beliau berpendapat makna sesebuah bahasa akan bergantung pada rujukan setiap kosa kata yang digunakan manusia dalam berbahasa.

Rujukan itu sendiri merupakan pemaknaan dalam kaitan antara satu kosa kata dengan kosa kata yang lain. Kata “demokrasi” misalnya, maknanya merupakan hasil rujukan pada definisi-definisi “demokrasi” yang tercantum dalam risalah-risalah politik yang menurutnya jelas bahawa makna adalah hasil interaksi antara teks.

Di sisi lain, kekayaan dalam memaknakan kosa kata khususnya penggunaan istilah asli sesebuah masyarakat akan memperkuatkan kedudukan sesebuah bahasa.

kemampuan

Ketamadunan sesebuah bangsa akan dikaitkan dengan kekayaan bahasa dan kemampuan melahirkan simbol-simbol intelektual yang tercerna melalui pemikiran dan teks atau metafizik kehadiran menurut istilah Derrida.

Namun, masalahnya bahasa-bahasa dunia akan berhadapan dengan dekonstruksi yang diwacanakan oleh pascamodenisme yang mengubah mitos rasionalisme dan peraturan kebudayaan modenisme.

Atas kesedaran tersebutlah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan Hadiah Karya Ilmiah DBP dan Hadiah Karya Kencana. Ia merupakan pengiktirafan terhadap penulis dan karya-karya yang membantu menjana kepada kekayaan bahasa Melayu di Malaysia.

Hadiah diberikan dalam semua disiplin yang dituliskan dalam bahasa Melayu dan tersiar di majalah-majalah terbitan DBP termasuk bidang kejuruteraan, perubatan, teknologi maklumat, sastera dan lain-lain.

Karya-karya tersebut dinilai oleh ahli-ahli akademik yang mewakili bidang masing-masing dari institusi- institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Bagi tiga hadiah utama kategori Hadiah Karya Ilmiah yang menawarkan RM8,000 dimenangi oleh Dr. Hamedi Mohd. Adnan menerusi tulisannya Majalah Melayu Selepas Perang (1945- 1957): Editorial, Sirkulasi dan Iklan (bidang Sains Sosial dan Kemanusiaan).

Dua lagi pemenang hadiah utama kategori tersebut ialah Dr. Ibrahim Ahmad (Kesenjangan Leksikal Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia (bidang Bahasa) manakala A. Rahim Abdullah (Semiotik Melayu: Pemantapan Teori Sastera Mutakhir) dalam bidang Sastera.

Empat penerima saguhati yang masing-masing berupa wang tunai RM2,000 ialah Hairil Haimi Mohd. Adnan (Dunia Si Kecil Kotemporari dari Perspektif Sains Sosial), Mohd. Syahiidd Tusiran (Kebersihan dan Kesucian Diri Menurut Islam).

Dua lagi pemenang saguhati ialah Dr. Noor Hassim Ismail dan Dr. Jack Wong Siew Yu (Kualiti Udara Dalaman Bangunan, Kesan Kesihatan serta Cara Pencegahan) serta Dr. Latifah Abdul Manaf (Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu).

Sementara itu, tujuh penerima Hadiah Karya Kencana yang masing-masing bernilai RM1,000 ialah Prof. Dr. Zaharani Ahmad (Isu Morfologi Bahasa Melayu: Menangani Kepelbagaian dalam Korpus), Prof. Madya Dr. Ahmad Mahmood Musanif (Bahasa Cerminan Budaya), Prof. Madya Arbak Othman (Kedalaman Puisi Dharmawijaya dan Zainon Ismail).

Penerima lain ialah Prof. Madya Dr. Noriah Taslim (Perjalanan Seorang Seniman dalam Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman), Naziree Md. Yusof (Toleransi Beragama dan Kesesuaian Hukuman Murtad di Malaysia), Dr. Ibrahim Ghaffar (Embah Setia Menunggu Merapi) dan Dr. Mohd. Nizam Sahad (Sukan di Malaysia Perlu Pengislahan Untuk Kejayaan Cemerlang).

Hadiah-hadiah kepada penerima disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang. Ia turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Johan Jaaffar dan Timbalan Ketua Pengarah DBP, Kamarul Zaman Shaharudin.

Zulkurnain dalam ucapannya berkata, bagi memperkayakan karya-karya ilmiah, kerjasama dalam bidang penerbitan, perancangan judul dan pemasaran buku menjadi begitu penting.

“Para ilmuan kita hendaklah mempunyai kesedaran tinggi terhadap peranan mereka sebagai penyebar ilmu pengetahuan. Selain penyampaian ilmu di bilik-bilik kuliah, pembentangan kertas kerja dan lain-lain, penyebaran ilmu melalui aktiviti penerbitan perlu dipertingkatkan,” katanya.

Sementara itu, pakar bahasa dan lingustik, Prof. Emeritus Datuk Dr. Asmah Omar dalam wacana bahasanya sempena majlis tersebut berkata, pandangan sempit segelintir ahli akademik bahawa karya akademik tidak memerlukan teks adalah tidak tepat.

Katanya, untuk menyampaikan idea dan gagasan yang diperoleh dalam kajian akademik memerlukan teks sebagai medium. Paparan formula semata-mata tidak akan melengkapkan sesebuah karya intelektual.

“Sebuah penemuan intelektual mesti disampaikan dalam bentuk teks yang ada bahasa untuk menjelaskan deskripsi, hipotesis dan definisi dengan lebih jelas serta lengkap.

“Dengan ciri-ciri ini, bahasa dalam teks akan memperkuatkan genre akademik itu sendiri selain mampu menyerlahkan ciri-ciri epistemologi dapatan sesebuah kajian yang dilakukan,” jelasnya.

Di sisi lain, beliau menekankan supaya ahli-ahli akademik menulis (dalam bentuk teks dengan bahasa yang lengkap) hasil-hasil kajian mereka dalam semua disiplin supaya dapat diterima serta difahami dengan baik.

sumber:utusan Malaysia

This entry was posted on Wednesday, September 24, 2008 at 10:22 PM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

1 comments

Anonymous  

You could easily be making money online in the underground world of [URL=http://www.www.blackhatmoneymaker.com]blackhat backlinks[/URL], Don’t feel silly if you haven’t heard of it before. Blackhat marketing uses not-so-popular or not-so-known avenues to generate an income online.

March 23, 2010 at 1:38 AM

Post a Comment