MENCARI CINTA..?  

Posted by minz_tondekan in

“Erm...kalau kita berkawan saja buat masa ni boleh kan?” kata Rizam. Baginya, ayat ini sahajalah yang boleh membuatkan hati mereka tidak terluka. Kalau dihitung, memang sudah beberapa kali ayat ini menjadi alasan untuk dia mengelakkan diri. Tidak tahu sampai bila dia akan terus berada dalam keadaan sebegini. Mungkin suatu hari nanti dia akan menemukan seseorang yang betul-betul sesuai dengannya. Tapi, bila? Itulah yang sering menjadi persoalan buat diri Rizam sendiri. Dia sendiri pun tidak begitu pasti bilakah hajat ini akan terrcapai.

Berasal dari negeri yang terlalu jauh dengan tempat dia berdiri sekarang, dia masih tercari-cari lagi permata yang seperti tertimbus di dalam hamparan pasir. Terlalu sukar untuk mencari sebutir permata itu,begitulah sukarnya dia untuk mendapatkannya. Walaupun telah merantau begitu jauh dari tanah tumpah darah, namun segalanya belum lagi menjadi kenyataan. Apa sebenarnya yang menjadi punca kepada segala ini terjadi? Mungkinkah dia sememangnya terlalu memilih! Ataupun sememangnya itu semua hanya angan-angan kosong. “Argh..sukarnya!” keluh Rizam.

Kalau diperhatikan dari rupa paras, susuk tubuh dan tingkah laku, Rizam sememangnya tergolong dalam kalangan lelaki yang sering menjadi perhatian. Namun, punca kepada berlakunya semua ini mungkin hanya dia seorang sahaja yang tahu. Ataupun, dia sendiri juga masih kurang pasti tentang keadaan itu. Kebingungan sentiasa menyelubungi dirinya. Pernah sehingga suatu ketika, Rizam terpaksa menjadikan seseorang sebagai tempat dia meluahkan segala keganjilankan perasaan yang dialaminya. “Aku rasa kau tak bersedia lagilah Zam..! Mungkin suatu hari nanti kau akan merasainya juga, tapi bukan hari ini..” kata Liza. Itulah tanggapan yang diberikan oleh salah seorang rakannya. Mungkin, ada juga betulnya apa yang diperkatakan oleh Liza.

“Bilalah rasanya aku dapat merasai nikmat sebegitu..?” tanya Rizam pada dirinya sendiri sejurus selepas terlihat rakannya Zahid makan berduaan di sebuah cafe berhampiran kolej kediamannya. Agaknya bagaimana suasana dan keadaan yang dialami oleh mereka ketika itu. Pertanyaan ini sering bersarang dalam kotak fikirannya. Namun, jawapan kepada persoalan ini belum lagi dapat dirasainya kerana permata yang dicari-carinya sehingga kini masih belum ditemui. Selama ini, yang hadir dalam hidupnya hanyalah butir-butir pasir yang bertaburan di tepian pantai, ditenggelamkan dek pukulan ombak. Namun, sebiji permata yang tertimbus dibawah butiran pasir-pasir itu masih belum kelihatan. Bilakah agaknya ombak yang tidak pernah jemu menghempas pantai itu akan mengikis pasiran di pantai agar permata yang tertimbus itu muncul kelihatan. Itulah satu-satunya harapan Rizam yang dinanti-nantinya selama ini.

“I love you too..!” jawab Rizam membalas ungkapan sayang dari Syima. Gadis manis ini menjadi teman wanita Rizam sewaktu menjalani Program Latihan Khidmat Negara 4 tahun dahulu. Mereka mula berkenalan ketika sama-sama mengikuti program ini yang dijalankan selama 3 bulan. Tapi, kisah cinta mereka hanya bertahan selama waktu program itu berjalan. Selesai sahaja program tersebut, masing-masing membawa haluan sendiri. Syima kembali ke utara Semenanjung manakala Rizam dipisahkan jauh oleh laut China Selatan. Khabar dari Syima jarang-jarang didengarnya, begitu juga dengan dirinya. Sekali-sekala sahaja dia menghantar mesej kepada Syima. Putik-putik percintaan yang telah berkembang mekar hanya bertahan selama 3 bulan sahaja. Perasaan yang dialaminya sebelum ini pudar sedikit demi sedikit. Semuanya kerana satu ungkapan yang begitu membingungkannya. Tapi, ketika itu dia hanya merasakan mungkin itulah yang dinamakan “cinta moyet”. Mungkinkah ini hanya alasan Rizam semata-mata.

Berdiri di hadapan Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya, Rizam terimbas lagi kenangannya sewaktu berada di tahun pertama pengajiannya, ketika itu dia dapat merasakan suatu perasaan yang pernah dialaminya dulu. Perkenalannya dengan Maya seperti tidak diduga. Gadis dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini betul-betul membuatkannya hilang pertimbangan. Segala-galanya dirasakan indah. Yang paling manis sekali ialah sewaktu dia sedang berusaha untuk mendapatkan Maya, “gunung yang tinggi dapat didaki, lautan yang dalam mampu direnangi”, segala-galanya sanggup dilakukan. “Betul ke Zam sayangkan Maya? Sumpah ye!” soal Maya dengan penuh manja.

Hari demi hari berlalu, nikmat kasih dan rasa rindu yang dialami bersama tidak selama-lamanya dirasai. Bagi Rizam, semakin di mendekati dan mengenali Maya timbul satu lagi perasaan yang pernah dirasakannya sebelum ini. ‘BOSAN!’ Itulah ungkapan bagi perasaan yang dillaminya ketika itu. Puncanya, dia sendiri pun tidak tahu. “ Alamak..malam ni Maya nak ajak aku keluar makan ngan dia, ish..malaslah!” keluh Rizam sendirian. Perasaan bosan mula berbibit dalam jiwanya. Berbagai-bagai alasan yang diungkapkan untuk mengelakkan diri dari kerap berjumpa dengan Maya. Sehinggakan hubungan mereka semakin renggang apabila Maya perasan perubahan yang dialami oleh Rizam. Hubungan mereka berakhir begitu sahaja, tanpa kata putus. Bagi Rizam, sebutir lagi pasir dihanyutkan dek ombak laut yang menghempas pantai. Tapi, bilakah permata yang ditunggu-tunggu itu akan muncul. Terus menjadi persoalan dalam dirinya.

“Aku tak tau la Liza..benda ni aku rasa macam penyakit pulak!” luah Rizam kepada Liza. “Lagipun, rasa BOSAN tu macam tiba-tiba je datang..” tambah rizam lagi. Dia cuba meluahkan kebingungan yang sering menyelubungi dirinya. Mungkin dengan cara ini dia dapat berkongsi masalah dengan orang lain. Terutama sekali dengan Liza yang memang menjadi orang yang paling rapat dengan dirinya. Bagi Rizam, dia merasakan bahawa hanya Liza sahaja tempat untuk dia berkongsi masalah. Segala-galanya dikongsikan dengan Liza. Mungkin disebabkan Liza adalah orang yang dikenalinya semenjak dari sekolah rendah lagi. Mereka seperti ditakdirkan untuk berjuang bersama. Sama-sama menjadi rakan sekelas sejak dari sekolah lagi sehinggalah kedua-duanya menjejakkan kaki ke menara gading. ‘Universiti Malaya’, itulah tempatnya! Kejayaan yang dikecapi bersama menjadi satu kenangan manis buat mereka. Kejayaan dan persahabatan, itulah matlamat dan pegangan mereka berdua sejak dari dulu lagi. Tidak pernah lebih dari itu.

“Zam, aku memang dah cukup kenal dengan kau..rasanya semua masalah yang kau hadapi kau cerita pada aku. Jadi, apa yang aku boleh bantu, aku pasti akan bantu..tapi masalah kau yang ni aku pun tak berapa faham. Cuma aku nak ingatkan, selagi kau tak bersedia baik jangan lagi bercinta. ” Ujar Liza cuba menasihati Rizam. “Erm..betul juga kata kau tu. Aku akan cuba k..thanks!” balas Rizam ringkas. Mana mungkin baginya untuk mengelakkan diri daripada merasai keajaiban cinta. Kerana baginya cinta itu buta. Boleh berputik bila-bila masa. Apalagi bila melihat rakan-rakannya yang lain mampu hanyut dalam bahtera percintaan dalam satu tempoh masa yang panjang tanpa wujudnya kalimah ‘BOSAN’! Hairan rasanya.

Berada di tahun terakhir pengajian, Rizam masih lagi belum menemui permata yang di cari-carinya itu. Sedangkan, tempoh 3 tahun pengajian dirasakan begitu lama. Rasanya masih ada ruang dan waktu untuk dia menemui permata itu. Dia yakin akan kepastian itu. Kerana dia dapat melihat kilauan permata itu muncul sedikit demi sedikit dicelah-celahan timbunan pasir. Walaupun masih belum kelihatan sepenuhnya, dia tetap yakin bahawa permata yang tertimbus itu pasti akan timbul tidak lama lagi. Pasti, dia begitu pasti!

Waktu terus berlalu, satu demi satu butiran pasir itu hanyut di hakis ombak. Syima, Maya, Nurul, Yati dan Lina entah kemana. Bayang-bayang mereka sudah tidak kelihatan lagi. Rizam ibarat mentari senja yang melabuhkan tirainya, menghilangkan bersama bayang-bayang mereka. Gelap gelita, semuanya hilang dari pandangan. Yang pasti, hanya cahaya bulan sahaja yang mampu mewujudkan semula bayang-bayang itu, tapi bayang-bayang itu pasti pudar dan kelam, tidaklah sehebat bayang yang dihasilkan Sang Mentari. Dan baginya juga, cahaya bulan itu pasti akan menyinari permata yang dicarinya selama ini. Kerana kilauan permata itu akan lebih bersinar pabila ianya disinari cahaya Sang Rembulan. Pastinya, pantulan cahaya bulan daripada permata itulah yang menjadi kompas kepadanya untuk mengesan permata itu. Ah, rasanya dia sudah tidak sabar lagi untuk menemui permata tersebut.

“Allahuakhbar,Allahuakhbar...Allahuakhbar,Allahuakhbar!
Asyhaduallailahaillallah...Asyhaduallailahaillallah!”.....

Azan solat Jumaat berkumandang dari masjid Ar-Rahman. Rizam yang ketika itu masih dalam perjalanan menuju ke masjid merasakan seperti ada satu kelainan pabila terdengar laungan azan waktu itu. Tidak seperti hari-hari sebelum ini. Azan pada hari itu betul-betul masuk ke corong telinganya terus ke kalbu. Rasanya penuh makna. Ganjil! Tiba-tiba dia tersentak, fikirannya teringat kepada permata yang dicari-carinya selama ini. Mungkinkah ini petanda bahawa dia akan menemui permata itu sekejap lagi. “Argh..Ya Tuhan, apa makna semua ini?” Itulah persoalan yang sedang bermain-main di benak fikirannya.

Setelah selesai dia mengambil air sembahyang, Rizam pun masuk dan duduk di salah satu sudut masjid. Di situ, dia melihat ramai jemaah yang berpusu-pusu masuk ke dalam masjid. Masing-masing sibuk mencari tempat. Segala kesibukan dunia dilupakan ketika itu. Yang paling utama adalah untuk menunaikan kewajipan. Ya, itulah matlamat utama! Menunaikan seruan daripada Tuhan yang satu, Esa! Ketika itu,dia merasakan adanya keindahan dalam solat Jumaat. Mungkin inilah hikmah Allah menyeru supaya menunaikan kewajipan solat Jumaat. “Penuh hikmah seruanmu Ya Allah” fikirnya dengan penuh kekaguman.

“Kenapa tiba-tiba aku terfikir semua itu?” bisiknya dengan penuh kehairanan. Dia menjadi semakin bingung. Pelbagai andaian yang dibayangkannya ketika itu. Dan salah satu andaian yang begitu kuat mempengaruhi pemikirannya adalah tentang sesuatu yang dimpikannya selama ini “Ya, permata itu! Mungkinkah dia berada di sini? Di mana dia sekarang?” fikirnya lagi. Tapi, agak mustahil juga andaian ini berlaku kerana di masjid ini semuanya lelaki. Mana mungkin ada perempuan yang datang bersembahyang bersama-sama. Mustahil! Sungguh mustahil. Sambil khatib memulakan khutbat Jumaat dengan menyeru supaya manusia sentiasa bertakwa kepada Allah, fikirannya masih lagi kehilangan punca, ligat memikirkan masalah itu.

Tiba-tiba gegendang telinganya bergetar, terdengar sesuatu. “Muslimin sidang Jumaat yang di muliakan Allah, tajuk khutbah mimbar hari ini ialah ‘CINTA PADA YANG ESA’...” sebaik sahaja mendengar khatib membacakan tajuk khutbah Jumaat pada hari itu, jantung Rizam berdegup kencang! Semakin kencang! Darahnya mudanya berderau, otaknya ligat berputar, seolah-olah mencari punca. “Ah..!!!!!!!!!!!!!! PERMATA itu....ya PERMATA itu! Ya aku pasti, Itulah dia....” jeritnya dalam hati. Tiba-tiba sahaja Rizam tersedar dari lamunan dunianya. Seolah-olah terjaga dari tidur yang berjuta tahun lamanya. “Astagfirullahalazim...Masya Allah!” Rizam beristigfar memohon ampun daripadaNYA. Ternyata, itulah dia cinta yang abadi, tidak akan pernah wujud kalimah ‘BOSAN’ di dalamnya. Cinta pada yang Esa! Akhirnya, barulah Rizam tahu bahawa PERMATA yang dicari-carinya selama ini adalah...... (“,)

by: minz_tondekan

This entry was posted on Thursday, July 31, 2008 at 10:26 PM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

3 comments

Penulisan cerpen yang bagus dan membawa maksud mendalam...
Kesudahan cerita yang tidak disangka dan berbentuk kesedaran. Saya suka blog ini disediakan beberapa cerpen yang menarik. Teruskan berusaha dan perbanyakkan lagi cerpen, puisi, dan sajak dalam blog ini. Good Luck

-manS

August 1, 2008 at 8:16 PM
Anonymous  

gigapixelz..terima kasih ngn komen anda!teruskan bagi sokongan tuk blog ni..k!

August 5, 2008 at 10:37 PM

Post a Comment