SESUNGGUHNYA AKU TIDAK MAMPU...  

Posted by minz_tondekan in

Rasanya..sudah terlalu jauh aku berjalan, tapi kepuasan yang aku inginkan rasanya masih belum cukup untuk aku nikmati. Kerana, setiap kali aku keluar kemana-manapun kekasih kesayanganku pasti akan ada bersamaku. Mungkin disebabkan aku ni terlalu berharga baginya., maka dimana-mana sahaja dia berada aku tetap ada setia menemaninya. Mungkin dia merasakan bahawa aku begitu penting baginya, juga pelengkap kepada kehidupannya. Jadi, bila mendengar luahan hati dari kekasih kesayanganku itu, aku bangga! Seolah-olah aku ibarat nyawa keduanya.

Aku tidaklah sesempurna mana pun, tapi pelik juga bila kekasih pujaanku itu tidak bosan mengajak aku berjalan kemana-mana. Aku biasa saja, seperti kawan-kawanku yang lain. Malahan ada di antara mereka yang lebih kacak, macho, segak, rugged, dan lebih bergaya daripada aku. Entah kenapa Linda masih setia dengan aku sehinggalah sekarang. Hairan? Cinta, kasih, sayang! Adakah itu adalah puncanya? Mungkin...

Disebabkan kesetiaan yang Linda tunjukkan dalam perhubungan kami, aku juga merasakan bahawa aku perlu membuktikan bahawa aku juga menyayanginya. Oleh itu, aku berjanji bersedia melakukan apa-apa sahaja yang Linda mahukan. Tidak perlu untuk aku berkira lagi kerana Linda sudah terlalu berjasa kepada diriku. Malah dia selalu sahaja menghabiskan wangnya semata-mata kerana aku. Aku menjadi semakin terhutang budi kepadanya. Dia kurasakan terlalu baik kepadaku, sehinggakan aku tidak mampu untuk mengungkapkan ucapan terima kasih kepadanya. Sukar..tidak mampu rasanya diriku!

“Linda rindu sangat-sangat dengan abang! I love you so much...” Luah Linda terhadapku. Sebenarnya, kalau dihitung betul-betul ayat ini dah beratus-ratus kali Linda katakan padaku. Telinga aku sudah lali dengan ayat-ayat jiwang seperti ini. Ah! Beruntungnya diriku mempunyai seorang girlfriend seperti Linda. Mungkin ini adalah takdir daripada tuhan, perkenalanku dengan Linda hanya berlaku dalam masa yang begitu singkat. Pertama kali aku bertemu dengannya kurasakan seperti sebuah mimpi. Kisahnya, semasa aku duduk bersantai di sebuah kompleks beli-belah terkenal, aku merasakan seperti ada seseorang yang sedang memerhatikan aku. Orang yang aku tidak kenali itu tidak jemu memerhatikan aku. Aku menjadi semakin gabra bila mata orang itu betul-betul tepat melihat kearahku. Apalah yang menyebabkan dia tertarik dengan bentuk fizikalku, aku sendiri pun tidak pasti. Hanya dia seorang sahaja yang tahu. Nak juga aku tanya dia, tapi malu...aku tidak mampu!

Sejak dari hari itu, aku semakin mesra dengannya. Pertemuan kami di Plaza Low Yat hari itu sememangnya akan aku jadikan peringatan sebagai hari ulangtahun perkenalan kami. Gembira rasanya! Bertuahnya badan bila seorang perempuan yang punya banyak kelebihan seperti Linda menjadi kekasihku. Cute, lawa, cantik, solid, peramah, ceria, baik hati dan banyak lagi kelebihannya yang tidak mampu aku ceritakan. Hanya yang mempunyai status seperti aku sahaja yang akan mengenali siapa Linda! Bertuah...bertuahnya aku!

“Abang penipu! Kenapa Abang curang kepada Linda? Sampai hati abang buat Linda macam ni...” jerit Linda meluahkan kekecewaan dan kesedihannya kepadaku. Tapi, waktu itu aku tidak mampu berkata apa-apa. Sememangnya aku tidak mampu. Aku tidak pernah berniat untuk melukai hati Linda. Aku terlalu sayang kepadanya. Tapi! Segala-galanya telah berlaku, aku tidak mampu untuk mengubah segala ketentuan yang telah ditakdirkan. Ah! apa yang telah aku lakukan? Tidak..tidak mungkin!” aku cuba meluahkan rasa kekesalanku. Tapi sayang, aku tidak mampu..

Sejak dari peristiwa itu, hubunganku dengan Linda menjadi semakin renggang. Aku tidak dapat bersama dengannya lagi. Aku semakin hampir dilupakan. Tiada lagi kata-kata indah yang mampu menggetarkan gegendang telingaku. Sunyi..terlalu sunyi! Sehari kurasakan bagai setahun. Rasanya terlalu seksa hidup tanpa dirinya. Aku terlalu rindu dengan gelak tawa dan ungkapan-ungkapan manjanya seperti yang selalu kurasai suatu ketika dahulu. “Linda, aku amat perlukanmu!” bisikku sendirian.

Sesungguhnya hukum alam telah menentukan, mendung gelap tidak menjanjikan turunnya hujan, begitu jugalah keadaanku dengan Linda. Cahaya mentari muncul semula dan menafikan titisan-titisan hujan jatuh ke bumi. Awan-awan mendung yang menyelubungi langit hilang sedikit demi sedikit pabila mentari memancarkan cahayanya semula. “Oh tuhan, sungguh agung kekuasaanMu!” aku bertaqarrub memohon kesyukuran. Hubunganku dengan Linda akhirnya terjalin semula. Tempoh penuh seksa yang kurasakan selama 3 hari tanpa kewujudan Linda kurasakan seperti 3 tahun! Terlalu lama. Tapi, kini aku mampu tersenyum semula. Dia juga merasa seperti apa yang kurasakan selama ini Bibit-bibit kasih dan riindu tumbuh subur semula. Ungkapan sayang, cinta dan rindu menghiasi hidupku. Tidak putus-putus ungkapan ini kuterima. Aku merasa begitu bahagia dengan hubungan kami sekarang. Sesungguhnya, ada hikmah disebalik segala yang telah berlaku. Cuma, baru sekarang aku dapat merasainya! Syukur..

Begitulah keadaanya selepas tragedi hitam yang kami lalui sebelum ini. Sememangnya kitaran hidup di dunia ini begitu sempurna sekali. Hanya yang sedar dapat mensyukurinya. Sejak dari peristiwa itu juga, Linda sering keluar bersama-sama denganku. Aku sentiasa berada berdamping dengannya. Ibarat ekor yang senantiasa mengikut kemana sahaja badan itu pergi. Begitulah keadaanku! Tapi, aku tidak pernah merasa bosan dengannya. Tidak akan sekali-kali! Itulah janjiku kepadanya. Kasih sayangku terhadapnya sudah berlipat kali ganda berbanding sebelum ini. Begitu juga dengan Linda. Dia betul-betul menyayangi aku.

“Encik, how much this?” tanya Linda kepada jurujual itu. “Ohh, yang tu 80 ringgit je!”balas jurujual itu. “Ok, kalau macam tu saya nak yang ni!” Kata Linda lagi. Linda sebenarnya membelikan aku sesuatu, katanya sebagai hadiah untukku sempena ulangtahun perkenalan kami. Ah, nampaknya dah setahun kami bersama. Sungguh tidak dirasa peredaran masa yang begitu pantas berlalu. Aku terasa sangat gembira bila melihat hadiah pemberian Linda itu, baju Manchester United! Ya, kelab bola sepak kegemaranku. Aku tidak dapat berkata-apa ketika itu. Terharu, ternyata Linda begitu mengambil berat tentang hubungan kami berdua kerana aku sendiri terlupa dengan hari ulangtahun perkenalan kami. Walaupun dahulu, aku pernah berjanji untuk mengingatinya..”Maafkan aku Linda!” bisikku sendirian.

Sebenarnya, aku sedar aku tidak mampu melakukan seperti apa yang dilakukan oleh Linda. Rasanya dah beratu-ratus ringgit dia habiskan semata-mata kerana aku. Dia tidak pernah sekalipun berkira! Itu adalah salah satu lagi kelebihan yang ada pada diri Linda. Tapi aku terlalu jauh berbeza dari dia, serba kekurangan. Apa yang mampu aku berikan kepada Linda hanyalah kesetiaan. Ya, setia untuk berkorban upaya bila-bila sahaja demi dia! Itulah lagi janjiku kepadanya..

“Assalamualaikum..Hai! Abang sihat? suara ceria Linda sekali lagi menggegar gegendangku. Suara yang membuatkan aku menjadi tidak keruan. Khayal entah sampai ke tahap mana “Abang..kenapa senyap ni? Linda tanya jawablah!” suara manja Linda menyentap lamunanku. Rasa, hilang segala masalah bila dapat mendengar suara manjanya. “Linda rindu sangat-sangat kat abang! Abang rindu Linda tak?” Linda cuba menguji perasaanku. Aku tidak mampu untuk berkata apa-apa lagi sebab perasaan yang aku rasakan tidak dapat lagi untuk digambarkan dengan kata-kata. Hanya tuhan sahaja yang tahu. “Aku betul-betul tidak mampu Linda..” luahku.

Begitulah suasana yang kami lalui hari demi hari. Tidak pernah lekang dari kata-kata romantis. Setiap hari kami bersama. Ke kelas, ke perpustakaan, ke perhentian bas atau kemana-mana sahaja aku senantiasa berada disisinya! Ke tandas? Ooh..tidak! Aku tidak dapat menemaninya. Katanya, “berbahaya!” Sambil dia mengukir senyuman. Aku hanya ditugaskan untuk menjaga begnya diluar tandas. Sedih rasanya ditinggalkan. Tapi tidak mengapa kerana aku faham, sesungguhnya aku tidak mampu untuk melakukan segala-galanya..

Hari ini, Linda sekali lagi mengajakku keluar menemaninya. Katanya hendak ke Plaza Low Yat. Ya, aku ingat! Plaza Low Yat..tempat yang menjadi saksi perkenalan kami berdua. Kenangan yang pasti tidak akan dapat aku lupakan. Kalau disingkap kembali, terlalu manis rasanya pertemuan itu. “Ah, indahnya!” bisikku. Tapi, aku tidak pasti apa tujuan sebenar Linda mengajakku kesana. Adakah dia kesana semata-mata untuk membangkitkan kembali memori indahku bersamanya? Mungkin itulah yang diharapkan. Aku sebenarnya ingin juga tahu kenapa..tapi, dia tidak berkata apa-apa. Ini membantutkan lagi usahaku. Tapi tidak mengapa, ianya tidak menjadi masalah kerana aku sering mengingati janjiku untuk berkorban upaya untuknya. Jadi, aku hanya mengikut sahaja ke mana arahnya..tidak termampu untuk aku membantah! Aku tidak mampu Linda..

“Tissssssssszzz.....” pintu monorail pun terbuka. Selepas sahaja keluar dari pintu monorail itu, Aku dan Linda terus sahaja berjalan menuju ke Plaza Low Yat. Setelah berjalan selama beberapa minit, kami pun sampai di hadapan pintu utama Plaza tersebut. Sebaik sahaja kami masuk ke dalam, aku dapat melihat suasana riuh rendah yang sememangnya telah sinonim dengan keadaan di sana. Orang ramai sibuk dengan urusan masing-masing. Ada yang sedang sibuk bertanya tentang barangan yang didijual oleh para peniaga, ada juga yang sibuk bergerak ke sana kemari dengan haluan tersendiri, sambil beberapa orang promoter sibuk memberikan tamplet barangan jualan syarikat mereka di sudut-sudut bangunan. Ada juga di antara mereka yang sibuk menjawab panggilan telefon, sibuk menekan keyboard komputer dan berbagai-bagai gelagat lagi. Suasananya sungguh merimaskan. Namun, inilah suasana yang aku cukup rindukan kerana semua yang kurasakan hari ini bermulanya dari sini. Ya, segala-galanya...

Sedang khusyuk aku melayani suasana yang cukup istimewa itu, tiba-tiba aku tersentak. Kekhusyukkanku terganggu! “Linda..you buat pe kat sini?” Sapa Yanti, bekas roommate Linda semester lalu. Aku memang kenal dengan Yanti kerana dia pernah menjadi bestfriend Linda dulu. Jadi, aku sentiasa bersama-sama mereka study, melepak, tengok wayang pada hujung minggu dan berbagai lagi pengalaman yang pernah kami lalui bersama. Aku cukup mengenali Yanti. Dia seorang sahabat yang cukup baik. Bertuah dapat kawan sepertinya! Pertemuan mereka ketika itu betul-betul ceria, penuh dengan gelak ketawa. Masing-masing dengan cerita sendiri kerana mereka sebenarnya sudah lama tidak berjumpa, Yanti keluar dari kolej untuk tinggal di luar kampus. Dalam keghairahan mereka dapat bertemu semula, sempat juga Yanti bertanya kepada Linda tentang keadaan diriku sekarang! “Ala..macam dulu jugak!” jawab Linda ringkas. Huh, terasa bertuah juga bila Yanti masih menyedari kewujudanku. “Aku ingatkan dia dah lupa” bisik hatiku.

“Oklah Linda, lepas ni jangan lupa massage or call ye! Ingat tu..jangan nak sombong-sombong pulak!” sindir Yanti sebelum dia pergi dengan tangannya melambai kearah kami. Linda tangkas membalas lambaian itu. Aku hanya kaku, tidak mampu rasanya untuk aku membalas lambaian itu. Tapi kenapa? Apakah puncanya? Ah, aku sendiri pun tidak tahu. Maafkan aku Yanti! Aku tidak mampu...

Selepas itu, bayangan Yanti pun beransur-ansur hilang dari pandangan. Aku dan Linda terus sahaja mula berlegar sekitar kedai-kedai di tingkat yang pertama. Kemudian, setelah puas memerhati Linda mengajakku untuk ke tingkat atas pula, aku tanpa membantah menurut sahaja kemahuan Linda. Tapi, fikiranku masih lagi diselubungi dengan tanda tanya. Ya! Apa sebenarnya tujuan Linda datang ke sini.

Sampai sahaja di tingkat kedua, Linda terus sahaja membawaku ke sebuah kedai. ‘TELVENTURE SDN BHD’, ya itulah yang dapat aku baca daripada signboard kedai tersebut. Sebuah kedai menjual Handphone dan perkakas-perkakasnya. Aku semakin bingung, persoalan yang sama berlegar-legar dalam fikiranku. Kenapa? Ianya terus menjadi tanda tanya. Kerana, aku tahu bahawa Linda telahpun memiliki sebuah handphone. “Nak buat apa lagi, satu cukuplah?” fikirku tidak setuju dengan sikapnya. Pelik..!

Tiba-tiba..”Err.. encik, saya nak tanya! Berapa harga handphone model ni?” Tanya Linda sambil tangannya menunjuk ke arah sebuah handphone model Nokia N95. “Ohh, ini ar harga RM1200 saja maa...you mau beli ka?” balas jurujual yang berbangsa Cina itu. “ Nak, nak! Tapi, kalau saya ‘Trake In’ saya punya handphone ni, you boleh kasi saya berapa?” tanya Linda lagi.

Aku yang ketika itu asyik memerhatikan handphone model-model terbaru tersentak! Benarkah apa yang aku dengar sebentar tadi? Adakah suara manja yang selalu kudengar itu keluar dari mulut Linda? Ah!Tidak mungkin! Mustahil! Mustahil Linda sanggup berbuat begitu.. Aku tidak percaya! Itu bukan Linda yang aku kenal selama ini..bukan! Linda yang ku kenal selama ini berbeza..sungguh berbeza! Dia adalah Linda yang telah berjanji setia dengan aku, menaburkan perasaan kasih kepadaku, menyuburkan rasa rindu dalam jiwaku, dan yang membuatkan aku hanyut dalam lautan kasih sayang! Tapi, Yang ini bukan dia! Jelas bukan dia! Dia telah memungkiri janjinya, dia telah menguburkan perasan kasihnya, dia telah meracuni rasa rindunya dan telah menghancurkan segala-galanya! Tidaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaakkkkkkkkk! Aku tidak percaya semua ini!!!

Selamat tinggal Linda...!!! Selamat tinggal wahai kekasih pujaanku..!!! Berbahagialah dikau dengan kekasih barumu. Semoga kamu berbahagia! Itulah doaku. Dan disebabkan itulah aku pasrah, sememangnya aku tidak mampu! Kerana barulah aku sedar yang aku hanyalah............? =) Apakah jawapannya?Hehe.

by: minz_tondekan

This entry was posted on Thursday, July 31, 2008 at 12:05 PM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

3 comments

Alahai...handphone rupanya...cisss!!!
Hehe...tapi tahniah la sebab dapat hasilkan cerpen yang menarik...Mula-mula baca geram jugak apasal la dia ni asyik tak mampu...tapi bila dah penghujung cerita barula dapat jawapannya...cuma sebuah HANDPHONE..

August 1, 2008 at 3:00 PM
Anonymous  

alahai tertipu....
rupanya hanya sebuah hp???
ummmmmmmmmm...nice...
:)teruskan usaha...

f : budak_plu

August 3, 2008 at 1:39 PM
Anonymous  

trima kasih kpd hyorin ngn budak yg memberi komen tuk cerpen saya..teruskan dengan kritikan2 anda yg membina k!

August 5, 2008 at 10:35 PM

Post a Comment