TRAGEDI 7:54!  

Posted by minz_tondekan in



Poweeeeeeeeeeeeeeeeeer.........!!! Teriak Bidin kepada Karim. Memang itulah ungkapan yang sering kali kami sebut untuk mengenakan rakan terutama sekali Karim yang sering dijadikan bahan ejekan serta tawaan kami berempat. Karim merupakan salah seorang geng kami yang berasal dari Ipoh Perak. Berketurunan India Muslim dan mukanya sebijik macam hero Tamil dalam filem “Boss” iaitu Rajinikanth. Sebab itulah dia sering menjadi bahan tawa kami tak kira di mana-mana.

“Hang sampai kolej bila?” tanya Karim kepadaku. “Kelmarin..” Aku ringkas menjawab. “Haa..!Kelmarin!?Apa ni Amin...Kolej baru je buka harini tapi hang da sampai kelmarin!biar betul!!!” Karim rasa terkejut dengan jawapanku tadi. “Oooh...maaf!maksud aku semalam...ye la, kalau kat tempat aku kelmarin tu bermaksud semalam. Sorry la Rim..” aku cuba menjelaskan maksud jawapan yang aku berikan kepada Karim tadi.

“Ye ke?orang Sabah memang cakap macam tu ke?Ooo..baru aku tau!” Karim cuba memberi reaksi kepada jawapan yang aku berikan tadi. “A’ah Rim,memang macam tu..” Aku membalas. Sebenarnya aku berasal dari negeri Sabah, daerah Tawau. Merupakan keturunan bangsa Bugis yang datang merantau ke negeri Sabah sekitar tahun 1960 an dulu. Ibu bapa aku di lahirkan di daerah selatan Pulau Sulawesi yang sememangnya menjadi tempat asal bagi keturunan Bugis. Kadang-kadang aku berasa bangga juga dilahirkan sebagai anak keturunan Bugis disebabkan banyak sejarah-sejarah tentang orang-orang Bugis di Tanah Melayu yang menceritakan tentang kegagahan dan kebijaksanaan keturunan ini dan yang paling terkenal adalah pahlawan Bugis Lima Bersaudara seperti yang terdapat dalam buku-buku sejarah di sekolah. Tapi, itu semua tidak penting bagiku kerana bagi aku semua orang akan berasa bangga dengan bangsa dan keturunan masing-masing.

“Kau pulak sampai bila?”tanyaku kepada Karim. Karim yang ketika itu sedang sibuk membalas SMS terus terkejut dengan pertanyaanku. “Aku sampai semalam....tapi bukan kelmarin!!” Jawab Karim sambil membuat mimik muka cuba menyindir. Aku yang terperasan dengan sindiran itu merasa terkejut! “Ooh...ko nak kenakan aku ya!” Aku sengaja buat-buat marah. “Ala..gurau pun tak boleh ke?” tiba-tiba Bidin yang senyap dari tadi bersuara. Sambil itu dia cuba buat muka simpati. Aku dan Karim yang berdiri di sebelah Bidin terus tergelak bila melihat muka Bidin yang macam seposen tu.

Memang dah lama kami tak berkumpul ramai-ramai macam ni sebab baru saja menghabiskan cuti semester selama dua bulan. Masing-masing dengan aktiviti sendiri. Aku menghabiskan cuti semester dengan bekerja di sebuah pasar raya dekat Pantai Hill Park. Tak la jauh sangat dari UM. Cuti ni juga menjadi cuti semester kedua aku tak pulang ke kampung. Tapi dalam perancangan memang nak balik dalam cuti semester yang akan datang.

“Din, cuti baru-baru ni ko buat apa kat rumah,ko tak keje ke?” aku cuba bertanya dalam bahasa Melayu stail KL tapi masih terselit loghat-loghat Sabah. “Aku tak buat pape pun kat rumah...macam biasa la,keje aku bangun tido, makan, tengok TV, tidur balik! Tu je la rutin harian aku tiap-tiap hari..” Bidin membalas. “Patutlah badan jadi macam tu” aku cuba menyindir Bidin pula. “Ye la..ye la..aku sedar aku sape.” Sekali lagi Bidin cuba membuat muka simpati. Aku tersenyum. Sebenarnya Bidin ni sama macam aku juga, berdarah Bugis. Cuma yang bezanya antara aku dan dia ialah dia ni tergolong dalam Bugis kawasan semenanjung Malaysia yang sudah hampir hilang jati diri bangsa Bugis. Maklumlah, sudah lama keluarga mereka menetap di Johor dan bercampur gaul dengan orang-orang Melayu semenanjung.

Dalam ramai-ramai kawan yang aku kenal semenjak aku melangkahkan kaki ke UM ni, mereka nilah yang aku anggap sebagai rakan yang boleh dijadikan sebagai sahabat. Bagi aku taraf antara rakan dan sahabat itu sesuatu yang cukup berbeza walaupun kedua-duanya adalah perkataan yang bersinonim. Yang membezakan antara kedua-dua perkataan ini adalah dari segi nilai. Itu saja yang aku pegang sejak dari dulu lagi. “Eh, mana si Zaidi ha? Dari tadi lagi aku belum tengok batang hidungnya! Dia sudah sampai kolej ka?” tiba-tiba aku mengeluarkan loghat Sabahku yang aku rasa lebih selesa lagi untuk aku gunakan. Berbanding sekiranya aku asyik control nak cakap style semenanjung. Letih! Lidah ni macam nak tercabut. Jadi untuk berasa lebih senang aku cuba bercakap ikut style aku sendiri. Lagipun,aku yakin yang mereka ni mesti faham apa yang aku cakapkan tadi. “Erm, tak pasti la...!aku pun tak nampak muka dia lagi kat kolej ni. Agaknya dia still honeymoon kot!” Jawab Bidin.

“Dia kat kampung lagi la..esok kot dia balik. Sebab semalam aku ada mesej ngan dia, dia kata nak balik esok”. Karim mencelah. Mungkin betul jugak apa yang Karim cakap tadi sebab setahu aku Zaidi terpaksa buat rayuan untuk stay dalam kolej ni sebab permohonannya ditolak oleh pihak kolej. Sebenarnya Zaidi juga merupakan salah seorang daripada geng kami yang juga aku anggap sebagai sahabat. Dia ni budak Kedah, dan sekarang ni sudahpun bertunang. Jadi, apa yang Bidin kata tentang honeymoon tadi ada jugak betulnya. Yalah, dah bertunang. Mestilah banyak masa nak dihabiskan dengan tunangnya.

Titititiit....titititiit...titititiit...jam loceng yang aku kunci semalam berbunyi. Tepat pukul 7 pagi. Aku segera bangun dan bergegas ke tandas. “Waktu subuh da nak habis ni” fikirku. Segera aku mengambil air sembahyang untuk menunaikan solat Subuh. Waktu itu, aku lihat ramai yang tengah sibuk memberus gigi di sinki tandas. Ada juga beberapa orang yang tengah menunggu giliran untuk mandi. Agaknya, diorang ni ada kelas pagi. Jadi terpaksalah bersiap awal. Nasib baiklah harini kelas aku pukul 10 pagi. Lega rasanya.

Selesai solat Subuh, aku terus menerkam semula bantal peluk yang berada di atas katilku. Bantal inilah yang sering menjadi mangsa pelukanku semasa tidur. Rasanya, besar jasa bantal peluk ni bagi aku. Aku tersenyum sendiri memikirkan hal bantal pelukku tadi. Tapi, memang betul. Bagi aku, tanpa bantal peluk aku tidak dapat tidur dengan keadaan yang selesa dan lena. Itulah sebabnya aku membeli bantal peluk ini semenjak dari tahun pertama aku tinggal kat kolej ni. Maksudnya, sudah tiga tahun aku tidur bertemankan bantal peluk kesayanganku ini.

Sambil aku memeluk erat bantal peluk itu, tanganku bingkas mencapai handphone Sony Ericsson model W300i yang aku beli tiga bulan yang lepas. Niatku untuk melihat mesej-mesej yang diterima semasa aku tengah tidur tadi. “1 Message Received” terpampang di skrin handphoneku. Bisikku dalam hati, “Ni mesti sms dari Ina”. Itulah tanggapan pertama yang bersarang dalam kepalaku masa tu. Sebab, aku memang selalu menerima mesej daripada Ina pada waktu-waktu macam ni. Yalah, kaum mereka ni memang lazimnya bangun lebih awal untuk sembahyang Subuh berbanding dengan kaum Adam. Lagipun, Ina memang dah selalu jadi teman berSMS aku. Terutama sekali sewaktu nak menunggu mata terlelap. Jadi aku rasa mesej yang kuterima ni mesti mesej yang Ina balas yang aku belum sempat nak baca. Sebabnya jelas, dah mengantuk sangat. Jadi, terlelap.”Sorry la Ina!” bisikku dalam hati.

Aku pun terus menekan butang handphone untuk membaca mesej yang ku terima tadi... [ Rm 0.00: Cepat! Langganlah Voice Mail Greeting skrg. Hanya Rm2/bulan. Ucapan PERCUMA. Taip MG ON & hantar ke 22211. Layari www.channelx.com.my/mdp/mg.jsp.] “Ahh...mesej ni lagi!”fikirku sambil mengeluh. Sangkaanku ternyata meleset. Menyimpang terlalu jauh dari realiti. Rupa-rupanya mesej iklan. Buang masa saja hendak melayan mesej-mesej macam tu. Semuanya bagi aku hanya bertujuan untuk mempengaruhi pelanggan. Tapi, bila aku fikir-fikirkan balik rasa lucu jugak sebab sangkaanku bahawa mesej itu daripada Ina sebenarnya silap. Malu pula rasanya bila sesuatu yang diharap-harapkan tidak berlaku. Nasib baiklah masa tu geng aku tidak ada. Kalau tidak, habislah aku jadi bahan gelak mereka. “Hahahaha..” aku ketawa sendiri.

Aku masih lagi terbaring atas katil ketika itu. Memang rasa mengantuk begitu kuat mengajakku untuk tidur semula. Tapi, takut juga kalau-kalau aku menyambung tidurku, kelas Kritikan Kesusasteraan yang diajar oleh Dr. Marhaini tidak dapat aku hadiri. Memang perkara sebegini sering berlaku. ‘Terlajak tidur..!’ itulah alasan yang aku sering ungkapkan kepada rakan-rakan sekiranya mereka mendapat tahu yang aku tidak dapat hadir ke kelas. Bagiku, tidak dapat hadir ke kelas bukanlah suatu masalah yang besar sebab pada waktu itulah peranan sahabat dapat dibuktikan. Dan mangsa yang sering menjadi tempat aku meminta pertolongan adalah Zaidi kerana beberapa kursus yang kami daftarkan adalah sama. Jadi, Zaidi akan menulis namaku dalam kertas kehadiran setiap kali aku tidak dapat hadir ke kelas. Begitu jugalah sebaliknya. Aku akan menulis nama Zaidi sekiranya dia pula yang tidak dapat hadir ke kelas. Ibarat perumpamaan Melayu, ‘budi baik di balas baik’.

Jam menunjukkan pukul 7.54 pagi. Ada lebih kurang 2 jam lagi untuk aku ke kelas. Kalau di hitung betul-betul memang tidak sampai 2 jam sebab aku kena bersiap setengah jam lebih awal untuk ke kelas. Begitulah selalunya sebab untuk ke kelas aku kena berjalan kaki selama 15 minit. Oleh itu, aku membuat keputusan untuk tidak tidur. “Adui, mau buat apa ya!” bisikku dalam hati. Sekali lagi butang hanphone kutekan. Barangkali ini boleh menghilangkan perasaan boring ketika itu.

“Lepas ni, kau ada kelas lagi tak?” tanya Bidin kepadaku. “Erm..da habis. Harini aku ada satu kelas ja’, pukul 10 tadi..kau pulak?” soalku kepada Bidin. “Petang ni aku ada kelas Ko-K kat SKET” jawab Bidin ringkas. Masa tu kami tengah makan tengah hari di dewan makan kolej. Sedang kami makan yang diselit dengan sembang kosong, tiba-tiba telefon bimbitku bergetar. “Ish, siapa pula yang call ni?” bisikku dalam hati. Tangan kiriku terus kuselukkan ke dalam kocek seluar jeansku yang nampak lusuh. Kemudian, mataku tertumpu pada nombor yang terpampang pada skrin handphoneku. [019-5447311 is calling...] “Eh,no siapa ni?” aku tertanya sendiri. Terus aku menjawab panggilan itu. “Hello..waalaikumsalam. Siapa ni?” masa tu, barulah aku tahu bahawa orang itu adalah Mila, tunang Zaidi. “Tapi, kenapa pula tiba-tiba dia call?” Fikirku. Sebab sebelum ni tak pernah lagi dia call aku kecuali semasa Zaidi menggunakan telefonnya untuk membalas mesejku haritu.

“Bang Min..abang Zaidi accident semalam! Dia ada dekat hospital sekarang.” Kata Mila dalam nada sedih. Aku terkejut bila mendengar patah-patah kata yang diungkapkan oleh Mila tadi. “Haa, Mila jangan nak main-main!”jawabku serius. “Betul bang, dia kena langgar kereta. Tapi nasib baik tak teruk sangat. Doktor kata, dia kena berehat dekat hospital 3 hari..” Mila cuba meyakinkan aku. “Jadi, boleh tak abang tolong tuliskan nama abang Zaidi untuk kelas minggu ni..abang Zaidi yang pesan tadi!” tambah Mila lagi. “Alhamdulillah..nasib baik tak teruk..erm, oklah. Nanti abang tolong k! Sampaikan salam abang kat Zaidi ya..” balasku. “Ok, terima kasih..Assalamualaikum..”Terus sahaja Mila menamatkan panggilan. Selepas itu, aku terus memberitahu hal tersebut kepada Bidin. Terkejut beruk dia, tapi kami betul-betul berasa lega sebab keadaan Zaidi taklah teruk sangat. Segera kami menghabiskan makanan sebab azan Zohor dah pun berkumandang.

“Adoi..nampaknya minggu ni terpaksalah aku menunaikan tanggungjawabku sebagai sahabat lagi.” Bisikku dalam hati. “Tak apalah..mungkin ini hari Zaidi, esok lusa mungkin hari aku pulak!” fikirku lagi. Sebenarnya, tugas nak tulis nama kawan dalam kertas kehadiran bukannya kerja yang mudah. Kalau silap caranya, boleh kantoi dibuatnya! Itulah yang sering menjadi masalah. Tapi, kami dah tahu teknik untuk mengelakkan dikantoikan oleh pensyarah. Semua tu dah jadi adat kat Universiti. Kalau bernasib baik, lepaslah. Kalau tidak, memang malanglah jawabnya. Walaumacam manapun hebatnya taktik yang dirancang, kenalah juga beringat sebab sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Maksudnya, nak buat sesuatu tu kenalah ada hadnya. Tapi, setakat ni kami tak pernah kantoi lagi sebab masing-masing faham tanggungjawab dan peranan masing-masing.

Pagi itu, aku tergesa-gesa ke kelas. Sebabnya macam biasa, lambat bersiap. Jadi terpaksalah aku berjalan laju sedikit supaya aku tak terlewat masuk ke dalam kelas. Hari ini, kelasku bermula pukul 9.00 pagi. Awal sedikit berbanding kelas pada hari-hari yang lain. Ini semua sebab Prof. Norhayati, pensyarah yang mengajar kursus Puisi Melayu Tradisional yang sememangnya suka menetapkan waktu kelas tutorial awal-awal pagi. Memang kami dah masak dengan perangai beliau semenjak dari semester kedua lagi. Masa tu, aku dan Zaidi mengambil kursus yang diajar olehnya iaitu Puisi Melayu Moden. Kelas-kelas tutorial semuanya awal-awal pagi. Masa tu, kami terpaksa masuk dalam kelas tutorial pukul 8.00 pagi hari Isnin sebab kelas-kelasnya yang lain bertindih dengan kuliah-kuliah kursus lain. Memang selalu saja kami lewat masuk ke dalam kelas.

“Harap-harap aku sampai dulu dari dia..kalau tak, habislah aku dikerjakan!” bisikku sendirian. Akupun semakin mempercepatkan langkahku dengan harapan sampai lebih awal daripada pensyarah. Kalau tidak, memang malanglah nasib aku hari ini sebab apa yang kami tahu, Prof. Norhayati ni street sikit. Kalau buat salah saja, kena denda. Macam jadi budak sekolah kita dibuatnya. Lagi satu, dia ni memang cerewet, terutama sekali pasal kehadiran. Nampaknya hari ini aku terpaksa bertarung dengan nasiblah jawabnya. Sebabnya, hari ini aku terpaksa menunaikan tanggungjawabku sebagai sahabat untuk memasukkan nama Zaidi dalam kertas kehadiran. “Aduiii...macam mana ni!”fikirku.

Sampai saja dalam kelas, aku bersyukur sebab aku lebih dulu sampai daripada Prof. Norhayati. Nampaknya hari ini mungkin nasib menyebelahiku. Beberapa minit kemudian, beliau pun masuk ke dalam kelas dengan style pemakaiannya yang selalu kami coment disebabkan cara pemakaiannya yang begitu unik berbanding pensyarah-pensyarah perempuan yang lain. Apa yang paling unik sekali adalah cara pemakaian tudungnya. Memang nampak pelik. Tapi, itu mungkin dah jadi cara penampilannya sebab setiap orang ada penampilan diri masing-masing. Daripada keunikan itulah yang boleh membuatkan orang lebih cepat mengingati kita berbanding orang lain.

Fikiranku masih lagi tertumpu pada tugas yang belum selesai. Kertas kehadiran belum lagi sampai ke tanganku. Aku rasa inilah detik-detik yang betul-betul menguji keberanianku. Segala macam idea dan tipu helah bermain-main difikiranku. “Apalah teknik yang aku patut buat harini...?” fikirku lagi. Aku masih memikirkan lagi cara terbaik yang harus dilakukan untuk memasukkan nama Zaidi dalam kertas kehadiran itu. Sehinggakan kuliah yang disampaikan oleh Prof. Norhayati tidak dapat aku tumpukan dengan sepenuhnya. Entah apa yang tengah dikuliahkannya ketika itu, aku tidak begitu faham.

Beberapa minit selepas itu, kertas yang menjadi benda taruhan nasibku hari ini sampai di hadapanku. Tapi, teknik yang aku fikirkan semenjak tadi tidak juga dapat aku fikirkan. “Alamak..macam mana ni!” bisikku dalam hati. Selepas sahaja aku menuliskan nama, nombor matrik dan tandatanganku, keberanianku teruji lagi. Inilah masanya untuk aku membuktikan kesetiaanku kepada sahabat serta membuktikan keberanianku untuk menempuh cabaran. Tapi, bagiku semuanya adalah bergantung kepada nasib. Kemudian, tanpa memikirkan akibat-akibat yang bakal diterima, terus sahaja aku memasukkan nama Zaidi, nombor matrik beserta tandatanganku yang mewakili pihaknya. Kerana sebelum ini memang kami telah menghafal nombor matrik masing-masing. Tandatangan pula sememangnya telah kami jadikan latihan tambahan sebelum ini. Semua itu dijadikan sebagai bekalan dan persediaan semasa.

Selesai sahaja aku melangsaikan tugasku tadi, kertas itu aku serahkan pula kepada Akmal, rakan yang duduk disebelahku. Aku lihat dia asyik tersengih-sengih sahaja bila melihat gelagatku tadi. Tapi, aku rasa dia faham dengan situasi sebegitu sebab sememangnya dah menjadi kelaziman bagi mahasiswa di Akademi Pengajian Melayu ini. “ “Kenapa Mal..?” tanyaku untuk cuba mengetahui sebab dia tersengih walaupun aku tahu sebabnya. “Takdela..saja je!” jawab Akmal ringkas dengan nada seakan-akan berniat untuk membuat sindiran. Aku malas nak melayan karenah Akmal dengan membiarkan saja dia dengan telatahnya. Yang penting aku senang hati.

“Ish..kenapa aku rasa macam tak sedap hati?” bisikku. “Ahh..perasaanku sya’ ni!.” Bisikku lagi. Aku cuba menyedapkan hatiku sendiri. Aku sememangnya tahu jikalau perbuatanku ini terkantoi, mungkin tindakan undang-undang akan dikenakan terhadapku. Lebih-lebih lagi pensyarah yang street macam Prof. Norhayati. Tapi, disebabkan semangat setiakawan, aku terpaksa juga memberanikan diri untuk melakukannya walaupun aku sudah mengetahui bahawa ia merupakan satu kesalahan besar. Kalau tidak, mungkin Zaidi akan mempertikaikan kesetiaanku dan tidak akan menaruh kepercayaan terhadapku lagi. “Kalau percubaan kali ni berjaya, lepas ni kau pulak yang mesti tolong aku Zaidi!”fikirku.

“Err..kelas, kertas kedatangan mana?” tiba-tiba darahku berderau bila mendengar Prof. Norhayati bertanya tentang kertas kehadiran. “Boleh bagi saya tak, sebab saya nak sebut nama-nama yang hadir..lagipun, ini tutorial pertama kita bukan? Jadi, boleh juga saya kenal nama-nama pelajar kelas ni...” kata Prof. Norhayati. Fikiranku ketika itu menjadi tidak keruan. Kenapalah benda yang aku jangkakan dan risaukan sering saja berlaku. “Alamak..mampuslah aku kalau dia panggil nama Zaidi nanti!” ujarku dalam nada risau. Nampaknya kertas kehadiran telah sampai ke tengan beliau. Satu persatu nama pelajar disebutkan. Waktu itu, aku hanya menunggu saat namaku dan nama Zaidi disebut. Aku menjadi semakin risau. Aku seolah-olah menyesal menulis nama Zaidi tapi apa boleh dibuat lagi, nasi dah jadi bubur. Aku hanya menunggu malang yang semakin hampir untuk menimpa.

“Ya Allah..please, janganlah kantoi!”aku berdoa dalam hati. Tiba-tiba, aku rasa macam nak terkencing bila Prof Norhayati menyebut namaku. Sebab aku tahu selepas ini nama yang akan disebut oleh beliau adalah nama Zaidi! Aku pun segera mengangkat tangan. Masa itu, aku terpaksa berserah kepada tuhan sahaja. Jantungku berdenyut semakin pantas. Penyesalan yang berlipat kali ganda mula kurasakan. Kemudian.. “Muhd. Zaidi bin Mustafa..Muhd Zaidi bin Mustafa mana?” Prof. Norhayati memanggil. Aku lihat beliau memandang ke seluruh kelas tetapi tidak ada sebarang reaksi daripada pelajar. Tidak ada seorang pun pelajar dalam kelas tersebut yang menyahut panggilan itu semasa beliau memanggil nama Zaidi. Akmal yang berada di sebelahku hanya tunduk sambil tersenyum-senyum, petanda bahawa aku telah kantoi. “Matilah..!” ujarku dengan nada yang perlahan.

“Macam mana nama ni boleh ada dalam senarai tapi orangnya tak ada..haa!” tanya Prof. Norhayati dengan suaranya yang lantang. “Ni mesti ada yang bersubahat tolong tulis nama member..jangan nak tipu saya. Saya nak orang tu mengaku sekarang!!” teriak beliau lagi. Aku dah jadi semakin serba salah. Penyesalan yang kurasakan ketika itu datang menimpa bertubi-tubi. Nampaknya hari ni bukan hari aku. “Cepat mengaku..korang nak main-main dengan saya ya!!” kata beliau dengan nada yang keras. Ketika itu, tiba-tiba sahaja aku lihat semua mata seolah-olah tertumpu kearahku. Dalam fikiranku mungkin mereka mengesyaki aku kerana ramai di antara mereka tahu bahawa akulah yang paling kamcing dengan Zaidi. Aku yang pada ketika itu masih kebingungan merasakan bahawa aku perlu membuat pengakuan walaupun aku tahu akibatnya sangat buruk sekali. Perasaan serba salah semakin menyelubungi diriku. Aku cuba memberanikan diri untuk mengangkat tangan walaupun dalam keadaan yang penuh ketakutan. “Zaidi, Zaidi..sebab kau la aku jadi camni..!” bisikku dengan penuh penyesalan. Aku cuba menyalahkan Zaidi kerana disebabkan masalah dialah aku terpaksa menanggung akibat buruk yang akan kuterima nanti. Tanganku seolah-olah terasa terlalu berat untuk diangkat. Tapi, aku cuba juga dengan sedaya upaya memberanikan diri mengangkat tangan untuk membuat pengakuan. “Ahh..mengaku ja’ la!” bisikku dengan penuh pasrah.

“Amin!” aku tersentak bila mendengar suara tersebut memanggil namaku. “Cepatlah..hang tak nak pi kelas ka? da lewat ni..” ujar suara itu lagi. Kulihat seseorang berdiri dihadapanku siap dengan pakaian yang kemas dan menggalas sebuah beg. “Zaidi!!” itulah perkataan pertama yang terungkap dari mulutku. Seolah-olah seperti tidak percaya apa yang sedang berlaku. Fikiranku menerawang memikirkan masalah yang berlaku dalam kelas tadi. Ke mana hilangnya Prof. Norhayati, Akmal serta rakan-rakan sekelasku yang lain? Masa itu, barulah aku tersedar bila mataku tertumpu pada jam loceng yang berada di atas meja. Pukul 9.45 pagi! Hanya tinggal 15 minit saja untuk kelas bermula. “Wei, p la mandi cepat..hang ni mimpi ka?” suara Zaidi menyedarkan lamunanku. Aku terus mencapai tuala dan bergegas menuju ke bilik mandi. Sambil itu, fikiranku hanya teringat peristiwa yang berlaku dalam tidurku tadi. “Alhamdulillah..nasib baik siot!” bisikku dalam hati sambil tersenyum sendirian... ; )



by: minz_tondekan

This entry was posted on Tuesday, July 29, 2008 at 11:29 PM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

6 comments

tahniah..jalan cerita yang menarik dan penuh dengan unsur drama.Namapaknya sasterawan muda ini menggarap cerpen dengan begitu realistik dan menyentuh perasaan.Kesetiaan watak Amin dalam cerpen ini membantu Zaidi sewajarnya harus dipuji walaupun pada dasarnya tindakan itu salah. Hal ini di sebabkan semangat setiakawan yang dipegang oleh Amin begitu menebal.Aspek moral dalam cerpen menambah rencah dalam pemilihan plot dan kesinambungan antara watak dan persoalan yang dialami oleh Amin dan rakan-rakannya. Sekali lagi syabas sastewan muda untuk cerpen "tragedi 7:54"Namun jalan cerita yang agak perlahan menyebabkan cerpen ini sedikit tersasar dari tema sugguhpun begitu cerpen ini masih menarik dan sedikit nakal malah anda yang dalam keadaan stress akan terhibur dengan unsur humor yang turut diselitkan.

July 31, 2008 at 4:18 PM
Anonymous  

ummmm....idea yg baik...sungguh menyedihkan...bagus kalu diteruskan cerita hingga tamat agar tak tergantung...
:) teruskan usaha

August 3, 2008 at 1:36 PM
Anonymous  

usaha yg bagus...
mampu menbuatkan jantung dan limpa aku menggeletek...
hahahahaha....
menunjukkan erti kesetian dalam persahabatan...
:) teruskan usaha..

budak_plu

August 3, 2008 at 1:45 PM
Anonymous  

thanks kt member2 yg bagi komen tuk cerpen saya ni..semoga anda terus memberi sokongan kpd penulis2 muda yg bakal menjadi pendokong sastera pada masa hadapan!teruskan mengkritik k..

August 5, 2008 at 10:34 PM

tahniah... satu cerita yang penuh ngn unsur2 suspen....tp geram pun ade gak...

September 13, 2008 at 11:33 AM

haha...cerita yang baik...mesti penulis ambil cerita ni daripada pengalaman peribadi kan!!!

September 14, 2008 at 1:34 AM

Post a Comment